Tuesday, January 11, 2011

MINI FUTSAL PADA 28 JANUARI INI


KOTA BHARU – Satu Kejohanan Mini Futsal KB Futsal Arena siri pertama pada tahun ini akan diadakan pada 28 Januari ini bertempat di KB Futsal Arena, Padang Tembak dekat sini.

Kejohanan yang dianjurkan sepenuhnya oleh KB Futsal Arena itu merupakan pertama kali dianjurkan pada tahun ini dan hanya dua kategori bawah umur sahaja yang akan dipertandingkan. 

Pengarah Kejohanan, Ahmad Rokmar Abdullah berkata, siri pertama yang dianjurkan ini merupakan sebahagian daripada beberapa siri kejohanan yang dirancang akan diadakan sepanjang tahun ini bertempat di KB Futsal Arena.

“Sebanyak dua kategori akan dipertandingkan pada kejohanan ini iaitu Bawah 18 Tahun dan Bawah 15 Tahun. Bagi kategori Bawah 18 Tahun, syarat penyertaan mestilah lahir pada tahun 1993 ke bawah sementara bagi kategori Bawah 15 Tahun pula mestilah lahir pada tahun 1996 dan ke bawah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

“Bagi kejohanan ini, kita hanya menghadkan penyertaan sebanyak 36 pasukan sahaja bagi setiap kategori dan saya berharap mana-mana pasukan yang berminat boleh mendaftarkan seberapa segera dengan pihak kami.

“Yuran penyertaan bagi setiap pasukan ialah RM60 bagi kategori Bawah 18 Tahun dan RM50 bagi penyertaan kategori Bawah 15 Tahun. Bagi kategori Bawah 15 Tahun ini, kita sememangnya mensasarkan kepada golongan pelajar sekolah menyertainya bagi mengisi masa cuti hujung minggu,” katanya. 

Menurut Ahmad Rokmar, pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,000 yang bakal menjadi rebutan kepada pasukan yang bertanding pada kejohanan ini. 

“Kita berharap pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini tidak menunggu saat-saat akhir untuk menghantar borang penyertaan bagi mengelakkan penyertaan mereka ditolak kerana jumlah pasukan yang sudah mencukupi,” katanya. 

Bagi mana-mana pasukan futsal yang berminat untuk menyertai kejohanan ini, boleh menghubungi beliau ditalian 013 – 636 2295 atau menghubungi pejabat KB Futsal Arena di talian 09 – 798 8212.

No comments:

Post a Comment