Tuesday, January 11, 2011

AKSI TANPA MAT YO, APEX - SATHIA


B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berharap ada keputusan yang positif terhasil daripada pertemuan menentang Pulau Pinang sekali pun turun tanpa dua tonggak kebangsaan dalam perlawanan persahabatan petang ini.

Sathianathan berkata, persiapan pasukan Kelantan sedikit terjejas kerana masih tidak dapat menghimpunkan kekuatan pasukan secara keseluruhannya kerana dua wira negara dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki yang lalu, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat ketika ini kembali ke ibu negara untuk bersama skuad kebangsaan bagi menghadiri beberapa majlis keraian dalam tempoh terdekat ini. 

KHAIRUL FAHMI CHE MAT

“Apa hendak buat, kedua-dua mereka kini diperlukan untuk bersama skuad kebangsaan kerana perlu menghadiri beberapa majlis bagi meraikan kejayaan mereka baru-baru ini. Sebagai jurulatih sudah pasti saya mengharapkan kelibat mereka kembali secepat mungkin untuk berlatih bersama-sama dengan pasukan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

“Jadi saya tidak dapat menggunakan khidmat mereka dalam perlawanan persahabatan petang ini. Mereka hanya sempat menjalani latihan sekejap sahaja bersama kita selepas balik ke Kota Bharu minggu lalu. Saya kena bagi cuti kepada mereka kerana mereka masih belum hilang penat sepenuhnya selepas menyelesaikan misi bersama skuad kebangsaan.

NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

“Sekali pun tanpa mereka, saya berharap kita dapat mencatatkan keputusan yang positif dalam perlawanan persahabatan ini. Walaupun Pulau Pinang beraksi dalam Liga Perdana musim ini, tetapi kita tidak tahu kekuatan pasukan ini tambahan pula mereka dibarisi rata-rata muka baru musim ini. Jadi kita perlu hormati mereka dan tidak memandang mudah perlawanan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai aksi pemain muda, Nicholas Chan, Sathianathan berkata, beliau memberi masa kepada pemain muda itu untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini memandangkan pemain itu baru sahaja bersama datang ke sini minggu lalu.

“Saya tidak dapat menurunkan beliau dalam perlawanan petang ini. Beliau perlu diberi masa secukupnya untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan corak latihan pasukan ini. Beliau pulang seketika ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan beberapa urusan peribadi dan akan kembali ke Kota Bharu hari ini. 

Sementara itu, Sathianathan berharap dapat menggunakan khidmat kedua-dua pemain skuad kebangsaan itu apabila bertandang ke Pulau Pinang hujung minggu ini bagi mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan di sana. 

“Empat perlawanan itu begitu penting kerana ini merupakan peluang bagi saya untuk menguji keserasian dua pemain ini bergandingan bersama-sama rakan yang lain tambahan pula sepak mula liga akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment