Saturday, January 29, 2011

KARATHU PILIHAN TERBAIK- KAFA

Rosmadi Ismail 

KOTA BHARU – Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Rosmadi Ismail menyifatkan pemilihan Datuk M Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru sebagai tepat pada masanya pada ketika pasukan The Red Warriors terumbang-ambing untuk memulakan saingan Liga Malaysia musim ini tanpa pengendali pasukan.

Pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru menamatkan spekulasi sebelum ini dimana selain beliau tiga lagi calon iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah, Bojan Hodak dan Peter James Butler turut disebut-sebut untuk dilantik mengisi jawatan tersebut.

Rosmadi berkata, kriteria pemilihan Karathu adalah berlandaskan faktor pengalaman yang dimiliki oleh beliau selain pernah menjadi jurulatih Kelantan sebelum ini.

“Memang sebelum ini kita ada tiga hingga empat calon bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut. Namun setelah membuat penilaian dan mengambil kira pandangan daripada bekas jurulatih, B Sathianathan kita memutuskan Karathu adalah calon terbaik bagi kita,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Dia mempunyai pengalaman hampir 30 tahun terlibat dalam bidang kejurulatihan dan pengalaman dia membimbing Kelantan pada tahun 1993 juga merupakan antara faktor mengapa dia dipilih untuk mengisi jawatan ini.

“Selain itu kita juga turut mengambil kira faktor persekitaran sama ada dia selesa atau tidak untuk berada disini menjalankan tugas dan kita percaya dia sebagai seorang jurulatih profesional dia tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan persekitaran di sini,” katanya.

Rosmadi berkata, sebagaimana sebelum ini pihak Kafa tetap memberi kebebasan sepenuhnya kepada Karathu dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap menghadapi saingan liga musim ini.

“Sama seperti Sathianathan, kita tetap beri kebebasan kepada Karathu untuk mengendalikan pasukan pasukan ini dengan sebaik-baiknya. Kita tidak akan mencampuri sebarang urusan pemilihan pemain dan semuanya terserah kepada dia sepenuhnya.

“Saya juga berharap pihak media serta para penyokong Kelantan memberikan kerjasama yang baik kepada dia. Kita mahu para penyokong terus berdiri teguh dibelakang kita dan Karathu ternyata tidak akan berkeseorangan dalam perkara ini,” katanya.

Karathu, 67 tahun mempunyai pengalaman yang cukup luas apabila pernah melatih pasukan kebangsaan Sri Lanka dan Tyrgyzstan selain pernah mengemudi kelab Woodland Wellington FC dalam Liga Singapura pada tahun 2002.

No comments:

Post a Comment