Saturday, January 8, 2011

KAFA TAMPIL BANTU SAIROZI


Annuar Musa (dua,kanan) dan Azman Ibrahim meluangkan masa melawat Sairozi Daud di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini tampil menghulurkan sumbangan kewangan kepada bekas pemain Kelantan, Sairozi Daud yang kini terlantar menderita akibat penyakit barah tengkuk yang dihadapinya hampir setahun lalu.

Sairozi, 32 tahun, pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan sekitar tahun 2005 dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu sejak tiga hari lalu setelah tahap kesihatan beliau sedikit merosot.

Semalam, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan Pengurus Pasukan Liga Super Kelanta, Azman Ibrahim meluangkan masa hampir setengah jam melawat Sairozi di wad hospital tersebut.

“Sumbangan kewangan ini disampaikan dengan hasrat untuk meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh keluarga beliau dan kita berharap dengan sumbangan ini sekurang-kurangnya mampu menampung perbelanjaan keluarga beliau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

‘Sumbangan ini juga merupakan tanda keprihatinan pihak Kafa terhadap bekas pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan suatu ketika dahulu. Walaupun tidak lama bermain dengan Kelantan tetapi jasa dan sumbangan beliau tetap diingati terutama setelah membantu Kelantan muncul juara Piala FAM pada tahun 2005.

“Pihak Kafa merakamkan simpati diatas penderitaan yang dialami oleh beliau dan kita sama-sama mendoakan semoga beliau kembali pulih daripada penyakit yang dihadapinya ketika ini. Semoga beliau terus mempunyai kekuatan untuk melawan penyakit yang dihadapinya,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Daud Yaakob berkata, beliau sekeluarga mengucapkan terima kasih di atas keprihatian pihak Kafa terutamanya kesudian Tan Sri Annuar Musa sendiri meluangkan masa menziarahi anaknya.  

“Saya berasa terharu diatas kunjungan ini dan berterima kasih kepada pihak Kafa terutama Tan Sri Annuar Musa yang sudi menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga kami.

“Melihat kepada keadaan kesihatan anak saya, ada sedikit perubahan sejak dimasukkan ke hospital tiga hari lalu. Beliau sudah berselera sedikit untuk makan berbanding ketika terlantar dirumah sebelum ini. Saya juga berharap para peminat dapat mendoakan semoga beliau kembali pulih daripada penyakit yang dihadapinya ketika ini,” katanya.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood dan isteri turut meluangkan masa melawat Sairozi sambil menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga beliau.

No comments:

Post a Comment