Thursday, December 9, 2010

HRPZ II OPTIMIS MARA KE FINAL


ZULKIFLI HUSIN

KOTA BHARU – Pasukan bola sepak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu yakin mampu mara ke perlawanan akhir Kejohanan Liga Antara Kelab anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang pertama kali diadakan pada tahun ini.

Begitupun, halangan yang menanti mereka di saingan separuh akhir iaitu pasukan Yusri Kemunting FC dari Pasir Puteh bukan calang-calangan pasukan yang mudah ditewaskan.

Jurulatihnya, Zulkifli Husin berkata, berdasarkan prestasi semasa pasukannya yang berjaya mengetepikan Halban FC 2-1 dalam saingan suku akhir baru-baru ini, beliau begitu yakin pasukannya mampu melepasi halangan untuk mara ke perlawanan akhir.

“Memang sasaran awal pasukan kita apabila menyertai kejohanan ini mahu mara ke perlawanan akhir. Jadi apabila kita sudah mencapai ke peringkat ini (separuh akhir) dan hanya tidak selangkah lagi (mara ke final), saya fikir kita tidak harus melepaskan peluang tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Walaupun dari segi persiapan pasukan memang terjejas ketika ini kerana faktor cuaca yang tidak menentu tetapi kita masih sempat mengadakan dua perlawanan persahabatan dan latihan harian pula setakat ini diadakan sebanyak empat lagi. Selebihnya kita melakukan latihan dalam dewan futsal bagi mengekalkan tahap kecergasan pemain.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain jabatan ini setakat ini. Walaupun terdapat kekangan dari segi masa kerana mereka tidak boleh menyertai latihan dua kali sehari atas komitmen kerja masing-masing tetapi disiplin yang ditunjukkan mereka cukup bagus,” katanya.

Zulkifli, bekas pemain negeri yang mengemudi pasukan ini sejak tahun 2004 turut membayangkan hasrat untuk mengundurkan diri daripada melatih pasukan ini bermula musim depan.

“Sudah enam tahun saya membimbing pasukan ini, tiba masanya untuk saya bersara dan memberi peluang kepada orang lain. Saya merasa puas sekiranya kita dapat memenangi kejuaraan pada kali ini dan peluang bermain dalam liga divisyen satu anjuran Kafa musim depan juga merupakan pencapaian terbaik bagi pasukan ini.

“Mengenai lawan yang akan ditentang oleh pasukannya pada perlawanan separuh akhir, Zulkifli mengakui Yusri Kemunting FC merupakan pasukan yang kuat namun pasukannya bersedia memberi tentangan sengit dalam perlawanan tersebut.

Pasukan HPRZ II membariskan beberapa bekas pemain negeri seperti Saiful Nizam Husin, Ahmad Syiham Mohamad, Mohd Faisal Othman, Ahmad Dahrul Shafizul Aziz dan Mohd Zakri Bidi dalam menghadapi kejohanan kali ini.

No comments:

Post a Comment