Tuesday, November 16, 2010

ZAHASMI PUAS SUMBANGAN PEMAIN


KOTA BHARU – Tiga gol dalam perlawanan suku akhir pertama memberi isyarat bahawa Kelantan kini benar-benar bersedia menyingkirkan juara bertahan musim lalu, Perlis dalam saingan timbal balik suku akhir Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70 di Kangar pada minggu depan.

Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan para pemainnya dalam perlawanan menentang Perlis tempohari.

ZAHASMI ISMAIL

“Saya bersyukur kerana kita memperolehi tiga gol dalam perlawanan ini dan apa yang penting kita dapat pertahankan jaringan tersebut di Kangar nanti. Kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu. Mungkin lima, enam gol kita mampu jaringkan tetapi inilah bola sepak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Mereka (pemain) bermain mati-matian untuk memenangi perlawanan itu. Saya fikir pujian harus diberikan kepada barisan pemain saya kerana beraksi dengan baik dan saya berharap momentum kemenangan ini harus dikekalkan pada perlawanan kedua nanti.

“Saya terpaksa mengeluarkan penyerang utama, Cik Hisamuddin kerana beliau kurang cergas untuk bermain sepenuh masa. Pengganti beliau, Ramzul Zahini Adenan melakukan tugas dengan baik apabila kerap kali mencemaskan pintu gol lawan,” katanya.

Menurut Zahasmi, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua pemain dalam perlawanan itu dan mengakui mereka kini telah mencapai keserasian sepenuhnya berbanding tiga perlawanan lalu.  

“Begitu pun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dibahagian serangan. Kita mempunyai banyak peluang tetapi penyudah kita agak sukar untuk meletakkan bola didalam jaring. Itu yang perlu saya titikberatkan dalam latihan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Nudin Awang pula berkata, kelebihan tiga gol memberi kelegaan kepada Kelantan sebagai bekalan selesa sebelum bertandang ke Kangar nanti. 

NUDIN AWANG

“Kita tidak gentar sekalipun beraksi di Kangar dalam pusingan kedua pada 26 November ini. Saya percaya defisit tiga gol yang kita miliki sekarang mampu dipertahankan. Kemenangan ini menyuntik moral para pemain untuk mara lebih jauh.

“Kita tetap akan menurunkan barisan terkuat dalam pusingan kedua bagi mempertahankan kelebihan tiga gol itu. Kita tetap tidak memandang mudah pada pertemuan itu nanti,” katanya.

1 comment: