Saturday, November 20, 2010

Nurul Azwan, Ab Aziz perkuatkan Kelantan


Annuar Musa (tengah) dan Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail (kiri) dan Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU  - Dua muka baru, masing-masing anak kelahiran Kelantan yang pernah beraksi dengan pasukan kelab dalam Liga Malaysia musim lalu, bakal memperkuatkan pasukan Kelantan dalam menghadapi Liga Malaysia 2011 bermula Januari depan.

Mereka yang dimaksudkan ialah pemain sayap Johor FC, Mohd Nurul Azwan Roya dan pemain pertahanan kiri KL Plus FC, Mohamad Ab Aziz Ismail telah menandatangani kontrak untuk beraksi dengan pasukan Kelantan pada musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, tiga pemain musim lalu iaitu Mohd Halim Napi, Cik Hisamuddin Hassan dan Sharudy Aziz tidak disambung kontrak mereka bersama Kelantan untuk musim depan.

“Ketiga-tiga pemain ini tidak disambung kontrak untuk musim depan dan pihak Kafa bercadang menyalurkan mereka untuk terlibat didalam bidang kejurulatihan secara serius selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Kita juga telah mengikat kontrak dua pemain yang berasal dari Kelantan iaitu Mohd Nurul Azwan (Roya) dari Johor FC dan Mohamad Ab Aziz (Ismail) dari KL Plus FC untuk memperkuatkan pasukan Kelantan selain daripada K Soley (Perlis) yang telah mengikat kontrak selama dua tahun bersama kita dua bulan lalu.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa dua pemain iaitu Hairuddin Omar dan Akmal Rizal (Akmal Rakhli) diberi kebebasan memilih untuk kekal bersama dengan Kelantan atau beraksi dengan pasukan lain pada musim akan datang. Kita bersedia menerima atau melepaskan mereka sekiranya mereka mahu berhijrah,” katanya. 

Spekulasi pasukan mana yang ingin disertai oleh kedua-dua pemain ini semakin bertiup kencang ketika ini apabila Hairuddin Omar difahamkan bakal berhijrah ke Negeri Sembilan manakala Akmal Rizal Ahmad Rakhli dikatakan memilih haluan berbeza untuk mencuba nasib bersama pasukan Perak. 

Annuar berkata, secara keseluruhannya seramai 20 pemain musim ini dikekalkan dengan mereka  ditawarkan kontrak bermain untuk Kelantan selama dua tahun.

“Kita mendapat permohonan daripada penjaga gol, Syed Adney (Syed Hussein) untuk beraksi dengan pasukan lain dan kita sedang mempertimbangkan permohonan beliau. Ada seorang lagi pemain berbuat demikian tetapi kita tidak meluluskan permohonan itu kerana ianya tidak mengikut terma-terma kontrak. 

“Kesemua pemain akan melaporkan diri pada 27 November ini dan mereka akan menjalani sesi latihan keesokkannya dibawah kendalian Ketua Jurulatih, B Sathianathan. Saya juga ingin memaklumkan bahawa kontrak kesemua pegawai pasukan meliputi jurulatih, penolong jurulatih dan pegawai pasukan turut disambung untuk musim depan,” katanya. 

Annuar turut mengumumkan, Kelantan akan mengadakan siri perlawanan persahabatan antarabangsa pada 16 hingga 23 Disember depan melibatkan perlawanan menentang kelab dari Myanmar, Cambodia dan Thailand di Kota Bharu.

“Selepas itu, Kelantan akan akan mengadakan perlawanan persahabatan di Lembah Kelang iaitu menentang sebuah kelab dari Indonesia dan satu pasukan negeri dalam perlawanan yang dijangka berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 27 hingga 29 Disember. Untuk program perlawanan persahabatan ini, ianya turut diselitkan dengan majlis meraikan kemenangan Piala Malaysia bersama kelab penyokong khusus untuk penyokong Kelantan yang berada di Lembah Kelang.

“Sehari selepas itu, kita akan ke Singapura bagi menghadapi satu perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab disana sebelum mengharungi sepak mula Liga Malaysia menentang Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih menentang Selangor seminggu selepas itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment