Tuesday, November 30, 2010

MISTERI KEHILANGAN BELUM TERUNGKAI


AZMAN IBRAHIM

KOTA BHARU – Misteri ketiadaan tiga tonggak utama pada sesi latihan hari pertama skuad Liga Super Kelantan masih belum lagi terungkai apabila pihak persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri belum dapat mengesahkan secara rasmi mengenai kehilangan pemain tersebut.

Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin, perancang tengah, Mohd Norfarhan Muhammad dan pemain pertahanan, Azizi Matt Rose tidak melaporkan diri dalam sesi latihan pertama bersama skuad Kelantan dua hari lalu. 

INDRA PUTRA MAHAYUDDIN

MOHD NORFARHAN MUHAMMAD

AZIZI MATT ROSE

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, sehingga kini ketiga-tiga pemain tersebut tidak memaklumkan secara rasmi mengenai ketidakhadiran mereka dalam sesi latihan pertama skuad Kelantan di Kota Bharu dua hari lalu.

“Saya boleh mengesahkan bahawa ketiga-tiga pemain tersebut tidak melaporkan diri bersama Kelantan dua hari lalu. Saya pun tidak tahu dan tidak ada berita mengenai mereka. Yang pasti mereka tidak memberitahu alasan ketidakhadiran mereka dalam sesi latihan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sehingga kini, pihak pengurusan masih menanti kehadiran mereka. Kita masih memberi peluang kepada mereka untuk hadir (melaporkan diri) memandangkan mereka masih terikat sebagai pemain Kelantan untuk musim depan.

“Kalau mengikut terma kontrak pemain, ketiga-tiga pemain tersebut masih lagi dianggap pemain Kelantan berikutan kontrak mereka dilanjutkan selama dua tahun lagi bersama Kelantan kerana apabila mereka tidak membalas surat tawaran yang dikemukakan kira-kira tiga bulan lalu, maka secara automatik mereka dikategorikan akan mewakili Kelantan,” katanya.

Menurut Azman, sebelum ini beliau dimaklumkan bahawa kelibat Indra Putra Mahayuddin kelihatan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan sebagai menghadapi persiapan Kejohanan Piala AFF Suzuki tidak lama lagi.

“Saya difahamkan beliau ada menjalani sesi latihan disana, namun laporan akhbar (bukan Sinar Harian) semalam menyatakan beliau tidak terpilih mewakili skuad kebangsaan. Itu yang saya dengar berdasarkan laporan akhbar.

“Dalam kes Mohd Norfarhan (Muhammad), memang beliau ada memohon pelepasan daripada pihak Kafa untuk membolehkan beraksi dengan pasukan lain, namun Kafa tidak meluluskan permohonan beliau.
“Sementara Azizi (Matt Rose) pula sebelum ini sudah berjanji untuk datang menandatangani kontrak bermain namun sehingga kini tidak muncul-muncul lagi ko Kota Bharu.

Sementara itu, Azman berharap para peminat Kelantan tidak gusar mengenai situasi yang melanda skuad Kelantan sekarang sebaliknya terus memberi sokongan kepada pembentukan pasukan bagi menghadapi musim baru yang akan bermula pertengahan bulan Januari nanti.

1 comment:

  1. demo tu gi rilek alik golok kut. biar hok mano tok sey main nga kelate tuh. sipe pom x dok guno.

    ReplyDelete