Sunday, November 21, 2010

Hasil buruan baginda untuk santapan rakyat


KDYMM, Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra mencemar duli berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersama TRW baru-baru ini.

KOTA BHARU – Mungkin ramai tetamu tidak menyedari hidangan yang dinikmati iaitu gulai daging rusa ketika Majlis Santapan Malam bersama pasukan The Red Warriors Juara Piala Malaysia 2010 yang berlangsung di Hotel Renaissance merupakan hasil pemburuan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V baru-baru ini.

Ianya merupakan bidikan tepat tuanku baginda yang pergi berburu sebelum itu dan seterusnya berjaya memperolehi hasil pemburuan sebanyak dua ekor rusa untuk dibawa pulang.

Lebih menarik lagi, baginda turut menyembelih sendiri hasil pemburuan tersebut sebelum diserahkan kepada tukang masak istana untuk dimasak dan kemudian dihantar ke hotel tersebut bagi tujuan hidangan kepada kesemua tetamu jemputan pada malam tersebut.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan negeri, Rosmadi Ismail berkata, pihak Kafa merafak sembah dan menjunjung kasih diatas  keprihatinan baginda yang bermurah hati

“Sikap cakna baginda membuktikan keprihatinan baginda yang merupakan peminat nombor satu bola sepak Kelantan dan begitu menghargai kejayaan pasukan Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Ini membuktikan baginda sesungguhnya berjiwa rakyat apabila meraikan barisan pemain, pegawai pasukan dan juga penyokong The Red Warriors dengan mengarahkan majli santapan pada malam tersebut turut disediakan dengan menu gulai daging rusa hasil pemburuan baginda sebelum itu,” katanya.

Sementara itu Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, hadiah kejuaraan Piala Malaysia tersebut sememangnya dipersembahkan khas kepada tuanku baginda diatas kejayaan Kelantan muncul juara buat pertama kali itu.

“Sifat baginda yang begitu prihatin dan mengambil berat soal soal keagamaan dibuktikan apabila baginda turut mengajak kesemua barisan pemain dan pegawai pasukan ke Masjid Muhammadi untuk sama-sama melakukan solat hajat berjemaah selain mengadakan bacaan doa selamat selepas itu.

“Hadiah kejuaraan (Piala Malaysia) ini merupakan hadiah istimewa diatas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan yang baru, baru-baru ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment