Monday, September 20, 2010

HORMATI KL PLUS - SATHIANATHAN


IMBAS KEMBALI...Pemain pertahanan, Azizi Matt Rose menjaringkan gol menerusi tandukan dalam pertemuan menentang KL Plus FC di Kota Bharu penghujung Julai lalu.

KOTA BHARU – Dengan saingan kumpulan A TM Piala Malaysia dilihat lebih terbuka, Kelantan yang kembali menemui rentak kemenangan berhasrat menjadikan sebuah lagi pasukan berstatus kelab, KL Plus FC sebagai mangsa terbaru dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, walaubagaimanapun, beliau tetap menghormati kemampuan pasukan kelab itu yang disifatkan boleh melakukan kejutan tidak diduga.

“Walaupun permulaan yang tidak begitu baik bagi mereka (kekalahan 0-1 kepada Selangor PKNS FC), tetapi keupayaan mereka memaksa Negeri Sembilan seri di Seremban tempohari merupakan perkara yang perlu saya ambil serius,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mereka berupaya menjadi penghalang kepada cita-cita kita mengutip tiga mata. Saya menghormati pasukan ini yang mempunyai ramai pemain berpengalaman seperti Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus dan Mohd Fadzli Shaari.
INDRA PUTRA MAHAYUDDIN ....jadi taruhan Kelantan malam ini

Sathianathan berkata, beliau mengharapkan kebangkitan anak buahnya dalam perlawanan ketiga malam ini.

“Para pemain perlu membuktikan keupayaan sebenar pada perlawanan ini. Memang dalam dua perlawanan terdahulu prestasi mereka tidak mencapai tahap seperti yang saya kehendaki. Tetapi berlaku sedikit peningkatan kalau dilihat pada perlawanan menentang Selangor PKNS FC tempohari.

“Saya mahu pemain saya tunjukkan keupayaan sebenar seperti mana yang mereka buktikan sepanjang saingan Liga Super yang lalu. Saya akui faktor rehat yang panjang selama lima minggu, latihan singkat sepanjang bulan Ramadan serta hanya sempat mengadakan tiga perlawanan persahabatan memberi kesan kepada persembahan pemain setakat ini.

Menurut Sathianathan, Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu menundukkan pasukan yang berpengkalan di Lembah Kelang itu bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan peringkat kumpulan A.

B SATHIANATHAN ....ada strategi sendiri

“Semua pasukan sekurang-kurangnya mahu mencatatkan keputusan seri apabila beraksi di Kota Bharu. Seboleh-bolehnya mereka mahu mengamalkan corak permainan bertahan. Bila mereka bermain dengan corak seperti ini, kita pula menjadi sukar untuk menembusi pintu gol pasukan pelawat. Apa pun, saya mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan kita mengutip tiga mata malam ini.

Rekod pertemuan dalam Liga Super musim ini, membabitkan pertemuan Kelantan dengan KL Plus FC berpihak kepada Kelantan dimana The Red Warriors berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 di Kelana Jaya dan menang 4-1 di Kota Bharu penghujung bulan Julai yang lalu.

No comments:

Post a Comment