Wednesday, August 4, 2010

SEKADAR SERI TANPA JARINGAN


Pemain dan pihak pengurusan Kelantan meraikan kejayaan meraih habuan RM300,000 atas kejayaan muncul sebagai naib juara Liga Super musim ini.
KELANTAN 0

T-TEAM 0

KOTA BHARU – Hasrat Kelantan untuk mencipta kemenangan dalam saingan terakhir Liga Super musim tidak kesampaian setelah seri tanpa jaringan dengan T-Team pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Sebaliknya ketumpulan jentera serangan Kelantan yang gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang menafikan hajat The Red Warriors untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia dilaman sendiri.

Begitupun, keputusan seri tanpa jaringan itu tidak memberi makna besar kepada kedua-dua pasukan, sebaliknya ianya diraikan oleh pihak pengurusan pasukan Kelantan dengan kejayaan meraih gelaran naib juara Liga Super 2009/2010 dengan hadiah kemenangan sebanyak RM300,000.

Seawal minit ke-6, Kelantan membuka rentak kegarangan didepan penyokong sendiri apabila sepakan percuma ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin ditumbuk keluar Mohamad Syamsuri Mustafa sementara percubaan susulan Hairuddin Omar selepas itu menyaksikan beliau menyepak angin.

Minit ke-10, Kelantan sekali lagi menduga kekentalan benteng pertahanan T-Team apabila lorongan cantik Indra Putra kepada Mohd Farisham yang melakukan overlapping menyaksikan hantaran lintangnya gagal disambar kemas oleh Akmal Rizal.

Sementara itu, pasukan pelawat pula dilihat agak tertekan apabila rangkaian penyerang, Mohd Haris Safwan Md Kamal dan Abdul Hadi Yahya seakan kehilangan idea untuk menembusi pertahanan Kelantan.

Minit ke-26, Kelantan mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol tetapi rembatan Indra Putra dari luar kotak penalti tersasar sebelah kanan pintu gol T-Team.
Tiga lawan satu....Ketua pasukan T-Team, Rosdi Talib terkepung dengan asakan tiga pemain Kelantan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi

Sementara pada minit ke-30, pasukan pelawat pula mengambil giliran melakukan serangan balas tetapi hantaran lintang Mohd Badrul Hisham pula gagal ditampan oleh Abdul Hadi Yahya.

Kelantan sekali lagi menguji melalui sepakan percuma Indra Putra pada minit ke-36, tetapi tertampan oleh benteng pertahanan T-Team dan ditumbuk keluar Mohamad Syamsuri menyelamatkan situasi merbahaya pintu gol pasukan pelawat.

Minit ke-44, pemain T-Team, Mohd Kamal Rodiarjat Mat Ali gagal memanfaat peluang yang terhidang apabila percubaannya sedikit tersasar setelah menyambut baik hantaran lintang rakan sepasukan.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Hairuddin Omar merakamkan detik kehampaan apabila gagal menyambut hantaran lintang Akmal Rizal dengan sempurna biarpun penjaga gol T-Team sekadar melihat terpaku situasi tersebut.

Bersambung babak kedua, kelainan mula dicipta oleh anak buah Che Ku Marzuki Che Ku Nor apabila mula menggandakan asakan demi asakan berorientasikan serangan pantas.

Hasilnya, dua peluang terbaik T-Team membuka jaringan hadir pada minit ke-47, apabila Mohd Haris Safwan yang tanpa dicabar pemain Kelantan masih sempat lagi melakukan rembatan kencang tepat ke tubuh Khairul Fahmi Che Mat.

Berselang tiga minit kemudian, Mohd Haris Safwan sekali lagi menggigit jari setelah rembatannya diselamatkan Khairul Fahmi biarpun sebelum itu beliau berjaya memperdayakan Azizi Matt Rose.

Melihat kepada jentera serangan yang tumpul, pengendali Kelantan, B Sathianathan pantas memasukkan pemain gantian, Muhd Badhri Radzi dan Zairul Fitree Ishak bagi melipatgandakan serangan Kelantan.

Minit ke-58, Hairuddin Omar sekali lagi kempunan untuk mencipta jaringan apabila rembatannya diselamatkan oleh Norfazly Alias didepan pintu gol, walaupun percubaannya sebelum itu ditepis Mohamad Syamsuri.

Sementara sepakan percuma Muhd Badhri Radzi pada minit ke-75 pula, dinafikan oleh tiang gol pasukan pelawat walaupun Mohamad Syamsuri sudah pun tertewas.

Begitu pun, dua percubaan terbaik pasukan pelawat hadir pada minit ke-81 dan 87 melalui Mohd Haris Safwan dan tandukan Abdul Hadi Yahya yang menyaksikan sedikit tersasar melepasi pintu gol Kelantan.

Mohd Nizab Ayub memadamkan hasrat Kelantan untuk mencipta kemenangan ditempat sendiri pada minit ke-88 apabila rembatan susulannya hasil tandukan Indra Putra sebelum itu disepak keluar oleh pemain pertahanan pasukan pelawat.

Sementara itu, pemain tengah Kelantan, Mohd Shakir Shaari diumumkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan malam tadi.

Timbalan Presiden FAM merangkap Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan replika cek bernilai RM300,000 kepada barisan pemain dan pihak pengurusan Liga Super Kelantan diatas kejayaan muncul naib juara pada musim ini sejurus perlawanan berakhir.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN – Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Zairul Fitree Ishak), Mohd Farisham Ismail, Khairan Eroza Razali (Muhd Badhri Radzi), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan  Hairuddin Omar (Mohd Nizab Ayub).

FORMASI : 4-4-2

T-TEAM – Mohamad Syamsuri Mustafa, Norfazly Alias (Mohamad Hasbullah Awang), Rosdi Talib (KP), Subri Sulong, Mohd Shahrul Ezrain Samsudin (Mohd Shahlan Alias), Mohd Badrul Hisham (Shamsul Kamal Mohamad), Mohd Nur Alif Zainal Abidin, Mohd Kamal Rodiarjat Mat Ali, Harizul Izuan Abd Rani, Mohd Haris Safwan Md Kamal dan Abdul Hadi Yahya.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (6) T-Team (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (7) T-Team (4)
Sepakan sudut : Kelantan (5) T-Team (3)
Sepakan percuma : Kelantan (16) T-Team (10)
Offsaid : Kelantan (1) T-Team (5)
Kekasaran : Kelantan (9) T-Team (11)
Kad kuning : T-Team (Mohd Shahrul Ezrain Samsudin dan Rosdi Talib)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Tiga minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%)  T-Team (45%)


PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Nagor Amir Noor Mohd
Penolong Pengadil 1: Mohd Kamil Tumin
Penolong Pengadil 2: Azman Ismail
Pegawai Keempat : Mohd Adri Tahir
General Koordinator:Arif Hassan
Komissioner Perlawanan : Mohd Dali Wahab

1 comment: