Tuesday, August 3, 2010

HARAP KEPUTUSAN TERBAIK - CHE KU MARZUKI


CHE KU MARZUKI CHE KU MOHD NOR

KOTA BHARU – Pasukan berstatus kelab, T-Team mengharapkan keputusan terbaik dicatatkan dalam pertemuan terakhir saingan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Ketua Jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata, persiapan pasukannya berjalan dengan lancar sambil mengakui tugas sukar menanti anak buahnya pada pertemuan di Kota Bharu malam ini.

“Pertemuan malam esok (ini) merupakan satu perlawanan yang menarik bagi saya kerana kami akan menentang sebuah pasukan yang kedua terbaik dalam saingan liga musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Melihat kepada prestasi Kelantan yang begitu memuncak, sukar bagi pemain kami menembusi pintu gol Kelantan. Kita akui begitu sukar untuk menjaringkan gol yang banyak dalam perlawanan ini. 

“Walauapapun, sekiranya mencatatkan keputusan seri, itu sudah cukup baik bagi kami. Sekiranya kami menang pada malam esok (ini), sekurang-kurangnya kami mampu memperbaiki kedudukan dalam carta liga sambil mengharapkan Negeri Sembilan tewas kepada lawannya.

Che Ku Marzuki berkata, beliau akan menurunkan barisan terkuat pada pertemuan malam esok (ini) dengan barisan hadapan sudah pasti disandarkan kepada gandingan penyerang, Mohd Haris Safwan Md Kamal dan Abdul Hadi Yahya.

“Semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan. Itu sedikit sebanyak melegakan saya dan pihak pengurusan pasukan.

Ditanya mengenai prestasi keseluruhan pasukannya pada musim ini, Che Ku Marzuki berkata, penampilan pertama kali T-Team dalam saingan Liga Super musim ini ternyata tidak mengecewakan.

“Bagi saya, kedudukan ditangga keenam liga setakat ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Ini musim pertama kami dan saya fikir selaku penghuni baru dalam Liga Super, kedudukan kami tidak mengecewakan peminat bola sepak di Terengganu.

“Tumpuan kami selepas ini adalah mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia. Sebagai pengendali pasukan, sudah pasti saya begitu teruja menanti saingan dalam kejohanan paling berprestij di negara kita ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment