Tuesday, August 3, 2010

HADIAH KEMENANGAN KEPADA PEMINAT - SATHIA


B Sathianathan

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mempunyai cara yang tersendiri bagi menghargai sokongan peminat setia bola sepak Kelantan selama ini.

Menurutnya, perlawanan malam ini di antara Kelantan menentang pasukan berstatus kelab, T-Team harus berakhir dengan kemenangan berpihak kepada The Red Warriors.

“Kita mahu menoktahkan perjuangan kita dalam saingan liga musim ini dengan kemenangan. Justeru rekod tanpa kalah kita sejak enam bulan yang lalu harus dipertahankan pada perlawanan malam esok (ini),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Untuk itu, saya mahu kemenangan pada perlawanan malam esok (ini) dihadiahkan kepada penyokong setia Kelantan tidak kira yang berada di sini (Kelantan) mahupun diluar Kelantan yang selama ini memberi sokongan kepada kita.

“Saya kira perlawanan ini cukup bagus kepada semua pemain sebagai persiapan mental dan fizikal sebelum kita mengharungi kempen Piala Malaysia nanti.

Sathianathan berkata, Kelantan akan turun tanpa khidmat bek kental, S Subramaniam yang digantung perlawanan kerana menerima kad kuning dalam perlawanan baru-baru ini.

“Kita akan turun tanpa Subra (S Subramaniam) manakala penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dijangka berada didalam kesebelasan utama pemain sekiranya beliau melepasi ujian kecergasan pagi esok (ini).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob berkata, sebagai tanda penghargaan pihak Kafa kepada sokongan peminat setia Kelantan selama ini, sebanyak 5000 cenderahati berupa bendera The Red Warriors dan kain lilitan kepala akan diberikan secara percuma kepada peminat yang hadir menyaksikan perlawanan pada malam ini.
Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob

“Cenderahati ini akan diagihkan secara percuma disetiap pintu masuk stadium berdasarkan siapa cepat dia dapat.

“Selain itu, 10 hadiah misteri bakal menjadi rebutan bagi pemegang kad E-Kafa yang berada ditempat duduk berbumbung stadium. Cabutan bertuah itu akan dilakukan berdasarkan kepada nombor siri setiap pemegang kad E-Kafa itu.

“Bagi pemegang tiket tempat duduk terbuka, hadiah misteri juga turut ditawarkan dengan cabutan bertuah akan dilakukan berdasarkan nombor siri pada keratan tiket masing-masing. Sehubungan dengan itu, para penyokong diminta menyimpan keratan tiket masing-masing,” katanya.

Menurut Tuan Mohd Hashim, majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang cabutan bertuah itu akan dilakukan sebaik sahaja majlis penyampaian hadiah kepada pasukan Liga Super Kelantan yang muncul sebagai naib juara Liga Super musim ini diadakan.

No comments:

Post a Comment