Tuesday, July 6, 2010

WAN JAMAK MAHU TIGA MATA PENUH


Wan Jamak Wan Hassan

KOTA BHARU – Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan tetap memasang impian untuk mengutip tiga mata penuh biarpun menyedari tugas getir menanti anak buahnya pada perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

“Semua pasukan Liga Super yang bertandang ke Kota Bharu menyedari bahawa ‘gelanggang keramat’ itu tidak menjanjikan kemenangan mudah kepada pasukan pelawat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum bertolak ke Kota Bharu semalam.

“Walau bagaimana pun, saya berharap  rekod cemerlang Negeri Sembilan ketika bermain di Kota Bharu sebelum ini dapat dikekalkan dan kita mahu mencipta kemenangan pada malam esok (malam ini).

“Kelantan adalah pasukan yang kuat berdasarkan prestasi terkini menduduki tangga kedua liga. Saya percaya kedua-dua pasukan akan mempamerkan permainan yang menarik pada perlawanan malam esok (malam ini),” katanya.

Menurut Wan Jamak, beliau akan menyenaraikan barisan terkuat bagi menghadapi tentang sengit barisan pemain The Red Warriors serta sorakan penyokong setia Kelantan.

“Semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan. Justeru, saya bakal menyenaraikan kesebelasan terbaik pada perlawanan malam esok.

“Ketua pasukan Rezal Zambery Yahya akan mengetuai pasukan ini sambil dibantu beberapa pemain berpengalaman seperti Idris Karim, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, Mohd Zaquan Adha Abd Razak dan Mohd Shukor Adan.

“Tempoh rehat selama sebulan memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki kelemahan skuad Jang dan saya berpuas hati dengan prestasi pemain saya sewaktu menjalani latihan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Menyentuh mengenai prestasi terumbang ambing pasukannya, Wan Jamak tidak menafikan perkara itu berlaku ke atas pasukannya sejurus menjulang Piala FA bulan April lalu.

“Prestasi pasukan Negeri Sembilan jatuh merudum, malahan peluang untuk mengejar kejuaraan Liga Super tampak begitu sukar dan sudah tertutup rapat.

“Apa yang penting, kami harus memperbaiki kedudukan kami dalam carta liga bagi membuktikan bahawa pasukan Negeri Sembilan masih lagi mampu memberi cabaran,” katanya.

1 comment:

  1. nok kena suruh sotong kurita pilih ni perlawanan male kare. hok kopem doh, kelate mene 4-0

    ReplyDelete