Wednesday, July 7, 2010

AKMAL RIZAL PENYELAMAT KELANTAN

Penyerang Kelantan, S Chanturu cuba melepasi kekangan pemain Negeri Sembilan,
Mohd Rahman Zabul dalam perlawanan Liga Super Kelantan menentang Negeri Sembilan
di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, malam tadi (photo ehsan : Userun Kelate.Net)


KELANTAN 1
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-73)

NEGERI SEMBILAN 0

KOTA BHARU – Rekod cemerlang Negeri Sembilan setiap kali beraksi di Kota Bharu akhirnya lebur setelah tewas 1-0 kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super yang Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang gantian, Ahmad Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-73 sudah cukup memastikan anak buah Wan Jamak Wan Hassan berputih mata pulang ke Seremban.

Pasukan pelawat dilihat lebih kerap melancarkan serangan melalui bahagian kanan pintu gol Kelantan melalui rangkaian penyerang mereka Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan Shahurain Abu Samah.

Aksi garang pasukan pelawat bermula seawal minit keenam perlawanan apabila penyerang lincah, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak yang melepasi halangan S Subramaniam merembat kencang mengenai jaring sisi kiri pintu gol Kelantan.

Selang dua minit kemudian, Shahurain Abu Samah sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila rembatannya terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan mempunyai peluang terbaik pada minit ke-19, apabila larian overlapping Mohd Farisham Ismail yang melepasi pertahanan lawan berakhir dengan kekecewaan apabila rembatannya diselamatkan Sani Anuar Kamsani biarpun dalam keadaan situasi satu lawan satu.

Sementara itu, sepakan percuma Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-31 pula mudah ke dakapan Khairul Fahmi yang beraksi cemerlang untuk Kelantan malam tadi.

Minit ke-34, Norshahrul Idlan Talaha merakamkan detik kekecewaannya setelah rembatannya ditepis keluar Sani Anuar.

Bersambung babak kedua, rembatan jarak jauh 25 meter oleh penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-48 nyaris menghasilkan gol tetapi mujur kecekapan Khairul Fahmi menafikan peluang pasukan pelawat itu.

Minit ke-52, The Red Warriors yang sekali-sekala melancarkan serangan turut mempunyai peluang apabila hantaran lintang Mohd Norfarhan Muhammad kepada ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin disudahi dengan tandukan yang diselamatkan oleh Sani Anuar.

Dua percubaan terbaik pasukan pelawat hadir pada minit ke-54 dan 57 perlawanan apabila rembatan Abdul Halim Zainal dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak ditepis keluar oleh Khairul Fahmi.

Manakala percubaan terbaik Kelantan pada minit ke-68 dan 70 melalui Akmal Rizal dan Mohd Daudsu juga diselamatkan oleh Sani Anuar yang turut beraksi cemerlang untuk Negeri Sembilan malam tadi.

Minit ke-73, detik kemenangan tercipta buat Kelantan apabila hantaran Muhd Badhri kepada Akmal Rizal di dalam kotak penalti mudah disempurnakan oleh beliau melalui rembatan jarak dekat menewaskan Sani Anuar Kamsani untuk menghasilkan gol kemenangan untuk Kelantan.

Minit-minit akhir perlawanan, pasukan pelawat mempunyai kesempatan terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi rembatan Shahurain Abu Samah diselamatkan oleh Khairul Fahmi seterusnya meleburkan rekod cemerlang pasukan Negeri Sembilan setiap kali beraksi di Kota Bharu.

Kemenangan malam tadi dilihat satu suntik semangat kepada barisan pemain The Red Warriors yang akan membuat perhitungan mutlak dengan musuh tradisi, Selangor pada perlawanan hujung minggu ini.

Kekalahan tipis 0-1 Selangor kepada Perak di Ipoh malam tadi kini membolehkan Kelantan merapatkan jurang lima mata dengan pendahulu liga itu.

KESEBELASAN UTAMA PEMAIN :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, S Subramaniam, Muhd Badhri Radzi (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha (Akmal Rizal Ahmad Rakhli) dan S Chanturu (Hairuddin Omar)

FORMASI : 4-4-2

NEGERI SEMBILAN : Mohd Sani Anuar Kamsani, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Shukor Adan, Mohd Rahman Zabul (Qhairil Anwar Roslani), Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad, S Kunalan, Rezal Zambery Yahya (KP), Idris Abdul Karim (Mohd Firdaus Azizul), Abdul Halim Zainal (Mohd Asyraf Mohd Al Japri), Shahurain Abu Samah, dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (4) Negeri Sembilan (7)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) Negeri Sembilan (3)
Sepakan sudut : Kelantan (8) Negeri Sembilan (2)
Sepakan percuma : Kelantan (10)  Negeri Sembilan (11)
Offsaid : Kelantan (2) Negeri Sembilan (2)
Kekasaran : Kelantan (9) Negeri Sembilan (8)
Kad kuning : Kelantan (Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham, S Subramaniam) Negeri Sembilan (Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tiga minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) Negeri Sembilan (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Ramli Mat Dahan
Penolong Pengadil 1: Wan Abd Muhaimi Wan Ahmad
Penolong Pengadil 2: Sabaruddin Abdullah
Pegawai Keempat : Mat Suburi Isa
General Kordinator : Arif Hassan
Komisionel Perlawanan : Ahmad Zuhairi Mohd Sham

2 comments:

  1. ise koho sedak loni main bek kiri...dulu gak kiya molek..haha

    ReplyDelete