Tuesday, July 13, 2010

SKUAD FUTSAL KELANTAN GIAT JALANI LATIHAN


Jurulatih Futsal Kelantan, Rozmin Musa menyatakan sesuatu kepada para pemainnya
setika menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Liga Futsal Felda/FAM 2010 bermula minggu depan

KOTA BHARU – Persiapan pasukan futsal Kelantan yang akan memulakan cabaran didalam Kejohanan Liga Futsal FELDA/FAM 2010 pada minggu depan kini memasuki latihan fasa terakhir.

Jurulatih futsal Kelantan, Rozmin Musa berkata, sehingga kini persiapan pasukan Kelantan berjalan dengan lancar dengan pemain menjalani setiap hari didua gelanggang yang berbeza.

“Kita sudah menjalani latihan insentif sejak dua minggu lalu bagi menghadapi kejohanan ini. Seramai 15 pemain telah dipilih bagi menjalani latihan skuad ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pemain kini giat menjalani latihan di gelanggang KB Futsal Arena dan juga Kompleks Belia dan Sukan, di Panji dibawah kendalian saya sambil dibantu bekas pemain Kelantan, Abdul Aziz Mustapha.

“Kita akan menghadapi sirkit pertama iaitu pada 17 dan 18 Julai ini menentang Kelab Bola Sepak Batang Padang (Perak) dan Selangor PKNS FC di Kompleks Sukan Triways di Shah Alam,” katanya.

Kelantan diundi didalam kumpulan A bersama-sama dengan juara bertahan KL Figos FC, Selangor PKNS FC, Pulau Pinang, Sabah, Kelab Bola Sepak Batang Padang (Perak), Selangor, dan Felda United FC pada kejohanan tahun ini.

Menurut Rozmin, beliau lebih gemar memfokuskan dua perlawanan pada sirkit pertama terlebih dahulu sebelum memikirkan saingan seterusnya.

“Kita perlu mengharungi sebanyak empat sirkit meliputi tujuh perlawanan. Saingan liga pula masih panjang sehingga bulan November nanti. Jadi tentunya kita mempunyai masa yang cukup untuk mengharungi perlawanan demi perlawanan diperingkat kumpulan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang menyediakan peruntukan yang banyak bagi menyediakan pasukan futsal ini.

“Pihak Kafa menetapkan sasaran untuk kita layak ke peringkat suku akhir pada tahun ini setelah tahun lepas kita tidak menyertai kejohanan ini.

“Saya percaya, dengan barisan pemain muda yang kita ada sekarang, sudah pasti kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment