Thursday, July 15, 2010

KELATE.NET SOKONG PENCALONAN ANNUAR



Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa (kanan) dan Presiden PBSNT,
Datuk Che Mat Jusoh (berbaju putih, tengah) antara dua muka baru yang akan 
bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 31 Julai ini.


KOTA BHARU – Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menyokong penuh pencalonan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi penggal 2010/2014 sempena mesyuarat agung tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan diadakan pada 31 Julai ini.

Presiden Kelate.Net, Marhasyim Mat berkata, pihaknya menyokong penuh pencalonan Tan Sri Annuar Musa yang akan bertanding jawatan nombor dua dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

“Pihak Kelate.Net melihat kejayaan beliau menerajui Kafa penuh dengan kejayaan merupakan salah satu faktor mengapa tidak harus beliau diberi sokongan untuk mengemudi FAM pada penggal akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kalau dahulu Kafa sering dilabelkan sebagai antara persatuan bola sepak negeri yang bermasalah, tetapi sejak dibawah kepimpinan beliau, Kafa telah berjaya keluar daripada kepompong tersebut bahkan menjadi persatuan bola sepak negeri pertama di negara ini mengeluarkan produk sendiri berkaitan bola sepak.

“Kita sudah tidak masanya badan induk bola sepak kebangsaan mendapat suntikan idea baru daripada beliau yang terbukti mempunyai banyak pengalaman termasuk pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan suatu ketika dahulu,” katanya.

Timbalan Presiden, Nik Mohd Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, Tan Sri Annuar Musa telah membuktikan kejayaan beliau menerajui Kafa dalam masa tiga tahun bermula 2007 sehingga sekarang dan berjaya meletakkan pasukan Kelantan antara pasukan yang digeruni.

“Kejayaan beliau memimpin Kafa keluar daripada pelbagai masalah kewangan membuktikan corak kepimpinan beliau mampu diterapkan apabila berada di FAM nanti.

“Kita berharap, sekiranya beliau terpilih, beliau mampu menjenamakan semula liga Malaysia supaya lebih meriah disamping merangka pelbagai program baru diperingkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Harun Ali berkata, ahli-ahli kelab penyokong turut memberi sokongan penuh kepada Presiden Kafa itu untuk bertanding jawatan nombor dua tertinggi didalam FAM itu.

“Corak kepimpinan beliau bukan setakat diperlukan diperingkat negeri, bahkan diperingkat nasional. Kita berharap selepas ini, apabila beliau berada didalam FAM, maka tidak lagi timbul masalah membabitkan pasukan Kelantan yang selalu dianaktirikan oleh FAM selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment