Thursday, July 8, 2010

SENGIT SEBELUM MENANG TIPIS



Kelantan bakal kehilangan khidmat Norshahrul Idlan Talaha yang
mengalami kecederaan sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan malam semalam.


KOTA BHARU – Tentangan sengit daripada barisan pemain Negeri Sembilan tidak mematahkan semangat juang pemain Kelantan untuk mencipta kemenangan bermakna seterusnya meranapkan rekod cemerlang pasukan pelawat setelah berjaya mengalahkan skuad Hoben Jang Hoben dengan kemenangan tipis 1-0.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, tempoh rehat selama lima minggu memberi sedikit kesan kepada persembahan keseluruhan pasukan Kelantan sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan malam semalam.

“Kita memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan itu dan ini terbukti apabila pasukan pelawat dilihat lebih menguasai 20 minit babak pertama perlawanan melalui serangan demi serangan yang diketuai Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan Shahurain Abu Samah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Separuh masa kedua, barulah pemain kita menemui rentak sebenar perlawanan dan saya memuji persembahan keseluruhan pemain yang tidak mengenal erti putus asa sehingga memperolehi gol tunggal pada perlawanan itu.

Ada beberapa kesilapan kecil yang dilakukan oleh pemain kita, dan saya berharap dapat mengatasi masalah itu sebelum ke Shah Alam pada Jumaat ini,” katanya.

Menurut Sathianathan, pemain Kelantan telah memberikan komitmen 100 peratus dan mereka berhak untuk keluar sebagai pemenang mutlak dalam perlawanan tersebut.

“Semua pemain memainkan peranan penting termasuk Akmal Rizal yang menjaringkan gol penting pada perlawanan malam semalam.

“Mereka (pemain) berupaya kembali mengimbangi rentak permainan biarpun pada suatu ketika pasukan pelawat dilihat lebih mendominasi permainan,” katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan turut membayangkan The Red Warriors bakal kehilangan khidmat penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pada pertemuan menentang Selangor hujung minggu ini kerana mengalami kecederaan serius.

“Norshahrul (Idlan Talaha) mengalami kecederaan serius pada lutut kirinya. Saya perlu merujuk kepada pegawai perubatan pasukan bagi mengetahui perkembangan terkini beliau.

“Beliau mungkin direhatkan pada perlawanan tersebut (menentang Selangor) sekiranya kecederaan beliau tidak sempat sembuh sebelum hari Sabtu ini.

1 comment: