Sunday, July 4, 2010

KELANTAN ATASI HARIMAU MUDA 2-1



KOTA BHARU – Kelantan menutup tirai perlawanan persahabatan di Lembah Kelang dengan keputusan memberansangkan setelah berjaya mengalahkan skuad Harimau Muda 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium MPS, Selayang malam semalam. 

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Muda terlebih dahulu mengejutkan Kelantan menerusi jaringan terpantas Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit pertama perlawanan.

Sementara itu gol-gol Kelantan telah dijaringkan oleh S Chanturu dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Kelantan mencatatkan dua kemenangan daripada tiga perlawanan persahabatan yang dihadapi sepanjang seminggu berada di Lembah Kelang.

Pada perlawanan menentang skuad senior kebangsaan pada 27 Jun lalu, Kelantan tewas 2-3 manakala perlawanan kedua menentang ATM pada 29 Jun, Kelantan mencatatkan kemenangan 3-0. 

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan keseluruhan para pemain Kelantan pada perlawanan itu.
Pemain tengah, Wan Zaman Wan Mustapha cuba melarikan bola daripada
pemain Harimau Muda pada perlawanan persahabatan malam semalam

“Ya, saya berpuas hati kerana ada peningkatan kalau kita melihat kepada aksi pada perlawanan ini. Pemain mampu mengawal bola dengan baik serta melakukan hantaran yang tepat, dan tidak menyimpan bola terlalu lama. Ini yang saya mahukan daripada pemain saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

“Cuma ada kesedikit kerisauan dibenteng pertahanan kita. Mereka nampak leka dan saya fikir masalah ini perlu diselesaikan sebelum sepak mula dengan Negeri Sembilan nanti.  

“Mereka harus bersedia dari segi mental dan tidak menganggap mudah apabila menentang lawan yang lebih muda daripada mereka. 

Menurut Sathianathan, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkemaskan benteng pertahanan dan juga jentera tengah sekembali pemain ke Kota Bharu esok (hari ini) bagi menyambung latihan selepas ini. 

Dalam pada itu, Sathianathan turut memuji semangat juang pemain muda dibawah kendali jurulatih, Ong Kim Swee ketika bertemu Kelantan pada perlawanan itu. 

“Saya mengikuti perkembangan semasa mengenai pasukan ini (Harima Muda). Mereka sebuah pasukan yang bagus, mempunyai kawalan bola yang menarik, berdisiplin dan bermain secara teratur. 

“Banyak perubahan yang berlaku kepada pasukan ini. Saya kira mereka mengutip pengalaman yang berguna sewaktu menjalani latihan di Slovakia selama tiga bulan dahulu. Apa yang penting, mereka harus diberi pendedahan yang berterusan bermain diluar negara. 

Sementara itu, Sathianathan turut menamakan kelibat ketua pasukan, Gary Steven Robbat dan Wan Zaharulnizam Zakaria antara pemain muda yang menarik perhatian beliau sewaktu perlawanan persahabatan menentang skuad Harima Muda itu. 

“Saya difahamkan Wan Zaharulnizam (Zakaria) merupakan berasal dari Kelantan. Dia masih muda tetapi mempunyai ciri-ciri sebagai penyerang yang cukup merbahaya.

"Saya akan mengikuti perkembangan pemain ini dari semasa ke semasa. Kelantan harus berbangga kerana mempunyai wakil dalam skuad Harimau Muda,” katanya.

1 comment: