Wednesday, July 21, 2010

KAFA ANJUR LIGA ANTARA KELAB



ARIF HASSAN


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Liga Antara Kelab bermula pada 30 Julai ini.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, kejohanan itu dianjurkan dan dikelolakan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Kafa.

“Tujuan utama kejohanan liga ini diadakan adalah untuk memberi pelaung kepada kelab-kelab yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Jumlah penyertaan adalah maksima sebanyak 32 pasukan dan setiap PBJ perlu menghantar sekurang-kurangnya dua kelab yang merupakan ahli gabungan mereka.

“Setiap pasukan perlu mendaftar empat pegawai pasukan, manakala had pendaftaran pemain ialah minima 18 orang dan maksima 22 orang,” katanya.

Arif berkata, syarat penyertaan adalah terbuka dan tiada had umur manakala pemain Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM tidak layak didaftarkan  pada kejohanan itu.

“PBJ hendaklah mencalonkan tidak lebih dari dua kelab yang menjadi johan dan naib johan di liga anjuran PBJ atau mana-mana kelab yang dianggap layak berasaskan kemampuan kewangan kelab tersebut. 

“Tarikh akhir pendaftaran pemain dan pegawai pasukan ialah pada 21 Julai (hari ini) sementara undian pula akan dilakukan pada hari Khamis ini jam lima petang di Wisma Kafa.

“Kejohanan ini akan bermula pada 30 Julai ini dan pihak JKPT akan memutuskan gelanggang perlawanan kemudian nanti.

“Pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini boleh menyertakan yuran penyertaan sebanyak RM150 dan disertakan sekali deposit RM500,” katanya.

Menurut Arif, format pertandingan ialah pada pusingan pertama akan dimainkan dalam liga satu pusingan merangkumi  empat pasukan dalam satu kumpulan manakala pusingan kedua dan seterusnya dimainkan secara kalah mati.

Hadiah wang tunai RM10,000 bakal menanti kepada pasukan yang muncul juara pada kejohanan ini, sementara naib juara akan meraih RM7,000. Tempat ketiga dan keempat masing-masing akan membawa pulang RM4,000 dan RM2,000.

No comments:

Post a Comment