Tuesday, June 1, 2010

KELANTAN BURU KEMENANGAN KE-13



KOTA BHARU – Di atas kertas kelebihan tetap berpihak kepada Kelantan tetapi bagi Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, beliau mempunyai retorik tersendiri apabila menganggap pertemuan menentang Perak malam ini sesuatu yang sukar bagi The Red Warriors.

B Sathianathan berkata, perlawanan menentang Perak menuntut anak-anak buahnya mempamerkan komitmen yang tinggi memandangkan skuad Seladang itu pernah mengikat Kelantan pada perlawanan pusingan pertama.

Pada perlawanan pusingan pertama Liga Super, Perak berjaya memaksa Kelantan berkongsi mata setelah seri tanpa jaringan di Ipoh pada 26 Januari lalu.

“Apa yang penting, pemain Kelantan harus mengekalkan rentak permainan sebagaimana yang ditunjukkan pada pertemuan dengan Pulau Pinang tempohari untuk mengutip tiga mata malam ini,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita tidak boleh memandang mudah pertemuan dengan Perak. Dalam banyak perlawanan kita bermain di gelanggang luar, saya kira pertemuan dengan Perak merupakan perlawanan yang paling sengit pernah kita hadapi.  

“Perak bukan pasukan yang lemah walaupun dibarisi pemain-pemain muda. Pemain mereka banyak memberi masalah kepada kita malahan tidak memberi langsung ruang kepada kita sewaktu pertemuan lalu.

“Pemain muda mereka cukup rajin dan berdisiplin di atas padang. Ini yang saya katakan sukar apabila berhadapan dengan pasukan seperti ini. Persembahan mereka meningkat dalam setiap perlawanan walaupun kedudukan mereka dalam carta liga tidak begitu memberangsangkan.

Musim ini, skuad Seladang yang dilatih oleh Raja Azlan Shah Raja So’ib hanya membariskan dua tonggak veteran iaitu K Nanthakumar dan Mohd Fauzzi Kassim disamping menggabungkan beberapa pemain muda yang cukup merbahaya seperti Razali Umar Kandasamy, Mohd Saufi Sa’aidi dan Muhammad Nazri Kamal.

Dalam pada itu, Sathianathan turut berkata, pemain Kelantan harus membuang tanggapan bahawa setiap perlawanan adalah untuk mengejar kedudukan Selangor semata-mata.

“Jangan fikirkan tentang pasukan Selangor. Mereka tidak boleh mendabik dada mengatakan kejuaraan liga sudah dalam genggaman mereka dan Kelantan pula tidak boleh mengatakan sudah mengaku kalah dalam perjuangan ini (memburu kejuaraan liga). Saya mahu semua pemain saya berfikiran posifif dalam hal ini.

“Saya mahu pemain saya hanya memberi fokus kepada perlawanan ini disamping mencari tiga mata pada baki perlawanan liga selepas ini. Dengan berbaki tujuh perlawanan lagi, kita tidak boleh tercicir walaupun satu mata,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukan, B Sathianathan berkata, Kelantan akan kehilangan khidmat bekas ketua pasukan Perak musim lalu, S Subramaniam kerana menjalani penggantungan satu perlawanan setelah mengutip tiga kad kuning.

“Subra (S Subramaniam) akan diketepikan dan tempat dia akan diisi oleh Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid). Ini peluang terbaik kepada beliau (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid) untuk membuktikan keupayaannya.

Azizi Matt Rose dijangka mengetuai benteng
pertahanan setelah ketiadaan S Subramaniam

Sementara itu, pemain paling berpengaruh, Indra Putra Mahayuddin akan kembali mengetuai jentera tengah setelah selesai menjalani penggantungan perlawanan tempohari.

“Semua pemain bebas daripada kecederaan dan senarai pemain yang akan berada didalam kesebelasan utama akan ditentukan pada sesi latihan terakhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment