Tuesday, May 18, 2010

Ulat tiket, tiket palsu kembali berleluasa


KOTA BHARU – Tak serik-serik lagi! Gejala ulat tiket kembali berleluasa. Begitulah senario yang dapat dilihat di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV menjelang perlawanan Liga Super, Kelantan menentang Terengganu pada hari Sabtu lalu.

Bukan isu baru bahkan telah berlarutan sejak sekian lama. Apabila melibatkan perlawanan berprestasi tinggi seperti perlawanan menentang Terengganu, maka ulat tiket tersebut muncul kembali ‘cari makan’ dalam masa yang singkat dengan mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda.

Seolah-olah undang-undang dan penguatkuasaan hanya tertulis diatas kertas, ulat tiket itu sudah besar kepala dan ‘makan besar’ tanpa memikirkan kepentingan orang ramai khususnya peminat bola sepak Kelantan. Yang mereka tahu, keuntungan sepuluh – dua ringgit atas alasan hendak cari makan.

Difahamkan, tiket tempat duduk berbumbung yang berharga RM25 telah dijual dengan harga sekitar RM35-RM40. Tidak masuk akal dibuatnya. Bukan perlawanan akhir pun pertemuan Kelantan dengan Terengganu tempohari. Sekadar perlawanan liga walaupun dipenuhi hampir 25 ribu orang penonton.

Kesannya, peminat bola sepak Kelantan yang terdesak untuk mendapatkan tiket itu tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membeli tiket dengan ulat tersebut. Pastinya itu sesuatu yang membebankan lebih-lebih lagi kepada peminat yang tinggal jauh dari Kota Bharu.

Seorang peminat bola sepak Kelantan yang enggan dikenali mendakwa, gejala ulat tiket itu sebenarnya kembali berleluasa pada perlawanan menentang Selangor pada 12 Mac lalu.

Menurutnya, pihak Kafa dilihat gagal mengambil tindakan sewajarnya membanteras gejala ini sedangkan ianya sudah lama berlarutan.

“Kegagalan pihak Kafa mengambil tindakan sewajarnya mungkin mengundang persepsi peminat bahawa pihak mereka membenarkan perbuatan itu. Sedangkan saya percaya pihak Kafa mungkin tidak menyedari gejala itu kembali berulang,” katanya.

Saffuan Ibrahim, 32 tahun berkata, beliau percaya pembabitan orang dalam khususnya yang menjual tiket menjadi punca mengapa perkara itu masih berlarutan sehingga kini.

“Pasti ada hubungan diantara orang dalam dengan ulat tiket tersebut, kalau tidak masakan perkara ini masih berlaku. Saya berharap pihak Kafa mengambil tindakan tegas membanteras masalah ini, “katanya.

Mohd Faiz Suhaimi, 23 tahun pula berkata, beliau berharap gejala ulat tiket itu tidak lagi berulang kembali pada masa akan datang.

“Gejala seperti inilah yang membunuh minat penyokong bola sepak Kelantan untuk datang ke stadium. Kita selaku peminat yang cintakan bola sepak Kelantan harus sama membantu pihak Kafa membanteras gejala ini dengan melaporkan kepada pihak berkuasa, “ katanya.

Tidak cukup dengan gejala ulat tiket, timbul pula isu tiket palsu yang kembali menghantui pihak Kafa. Difahamkan, pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu tempohari, pihak Kafa telah berjaya mengesan ratusan tiket palsu.

Dua masalah yang cukup serius itu, dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya oleh pihak Kafa.

Daripada segi angka, mungkin jumlah tiket palsu itu cukup sedikit berbanding dengan jumlah kehadiran penonton yang mencecah puluhan ribu pada malam tersebut, tetapi pihak Kafa tetap mengalami kerugian yang tidak sepatutnya.

Pastinya kerugian bakal memihak kepada pihak Kafa jika perkara ini masih berterusan pada masa akan datang. Amat malang bagi senario bola sepak Kelantan, disaat prestasi The Red Warriors kian memuncak, masih ada lagi individu tertentu yang menangguk di air yang keruh.

Golongan ini mungkin tidak mengerti mengenai kemeriahan bola sepak Kelantan, sebaliknya yang mereka tahu hanyalah mencari sedikit kesenangan melalui cara yang salah.

Perilaku mereka yang tidak bertanggungjawab ini sebenarnya telah merosakan imej bola sepak Kelantan.

No comments:

Post a Comment