Tuesday, May 18, 2010

PBJ Bachok juara Piala Kijang Muda


KOTA BHARU – Pasukan PBJ Bachok muncul juara kejohanan Piala Kijang Muda 2010 setelah mengalahkan PBJ Tumpat menerusi penentuan tendangan penalti  6-5 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Penentuan juara diputuskan menerusi tendangan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 pada waktu permainan yang sebenar. 

Pasukan PBJ Bachok meraikan kejayaan muncul
juara Kejohanan Piala Kijang Muda 2010

Seawal minit ketujuh, memperlihatkan kemampuan PBJ Bachok untuk berusaha mencari gol pertama apabila sepakan percuma ketua pasukannya, Ahmad Aqmal Razmi terkena palang gol PBJ Tumpat.

Selang dua minit kemudian, PBJ Bachok memperolehi gol pertama apabila sepakan percuma Mohd Fadhli Jusoh tepat menerjah jaring menewaskan Muhd Syazwan Yusoff.

Walaupun PBJ Tumpat dilihat lebih menguasai perlawanan, tetapi ketumpulan jentera serangan mereka untuk menjaringkan gol menyaksikan keputusan 1-0 kekal sejurus separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, PBJ Bachok terus mengukuhkan kedudukan menjadikan keputusan 2-0 apabila penyerang, Mohd Fadhli Jusoh mudah merembat masuk menewaskan Muhd Syazwan Yusoff daripada jarak dekat setelah berjaya melepasi halangan dua pemain pertahanan PBJ Tumpat.

PBJ Tumpat berjaya merapatkan jurang gol, tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma Mohd Syawal Rudin.

Ketika perlawanan menghampiri minit-minit akhir untuk ditamatkan, pemain PBJ Tumpat, Shahrir Abdul Rahman menghukum kesilapan penjaga gol Bachok yang gagal menangkap  kemas dengan merembat kencang menjadikan kedudukan terikat seri 2-2.

Penentuan juara menerusi tendangan penalti menyaksikan PBJ Bachok menang dengan keputusan 6-5.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang kejohanan sejurus perlawanan berakhir.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir itu, ialah Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah dan Rosmadi Ismail.

PBJ Bachok selaku juara Piala Kijang Muda edisi 2010 meraih hadiah piala pusingan dan wang tunai RM5,000 manakala PBJ Tumpat sebagai naib juara meraih RM3,000.

Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir, PBJ Kota Bharu dan PBJ Jeli masing-masing menerima RM1,000.

Sementara itu, pemain PBJ Tumpat, Mohd Syawal Rudin diumumkan pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Kesebelasan utama pemain :

PBJ Bachok : Mohd Nor Adli Mudin, Awis Qaryani Mohd Azam, Ahmad Aqmal Razmi (KP), Muhd Yusri Abd. Rahman, Mohamad Nor Aliff, Faqih Ikhwan Md Fauzi, Norizham Fahamin (Ahmad Hafeez Md Noor), Mohamad Hasbi Husain, Mohd Khairul Iman (Muhd Asyraf Muhamad), Mohd Hilmi Noradin, dan Mohd Fadhli Jusoh.

PBJ Tumpat : Muhd Syazwan Yusoff, Mohd Zulhafizuddin, Zulhilmi Ishak (Khairul Anuar Balah), Md Noraiman Talib (KP), Md Adli Md Yusof (Amirul Iman Abd Aziz), Mohd Syawal Rudin, Muhd Azmi Hamzah, Mohd Shahrizal Hassan, Mohd Suzairi Md Rozi (Mohamad Shaymimie), Shahrir Abdul Rahman dan Muhamad Haniff Zahidi.

No comments:

Post a Comment