Sunday, January 17, 2010

KEPUTUSAN TM LIGA SUPER : PERLIS 0 KELANTAN 0

Analisis Perlawanan Perlis lwn Kelantan


Percubaan tepat : Perlis 4 dan Kelantan 2
Percubaan tersasar : Perlis 2 dan Kelantan 6
Tendangan sudut : Perlis 6 dan Kelantan 1
Sepakan percuma : Perlis 9 dan Kelantan 11
Kekasaran : Perlis 13 dan Kelantan 10
Offsaid : Perlis 5 dan Kelantan 3
Kad Kuning : Perlis (Ahmad Fakri Saarani, Mazlizam Mohamad) dan Kelantan (Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Daudsu Jamaluddin)
Kad Merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa Tambahan : 7 Minit
Penguasaan Bola : Perlis 52% dan Kelantan 48%


KANGAR - Singa Utara berjaya mengikat Kelantan keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi perlawanan ketiga Liga Super yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar malam tadi.

Dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung malam tadi, Kelantan jelas terlebih dahulu menguasai babak pertama melalui rangkaian bahagian tengah diketuai oleh ketua pasukan, Indra Putra dan Muhd Bahri Radzi.

Seawal minit ketujuh, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mula menguji kehebatan Farizal Marlias apabila rembatan ‘half volley’nya terus kedakapan penjaga gol Perlis itu.

Lima minit kemudian, giliran Norshahrul Idlan Talaha pula cuba menembusi kekentalan kubu Perlis tetapi sepakannya  mudah dibaca oleh Farizal.

Minit ke-19, pemain tengah Perlis, Mohd Syazwan Zainol mencuri tumpuan apabila melakukan rembatan tetapi  terus kedakapan Syed Adney Syed Hussien.

Selepas itu, perlawanan jelas dikuasai oleh pasukan Kelantan sepenuhnya dengan gerakan menarik jelas berpusat daripada bahagian tengah Kelantan.

Minit ke-34, sepakan percuma ketua pasukan, Indra Putra pada juga mudah dinafikan oleh Mohd Farizal.

Minit-minit akhir babak pertama, Mohd Shazwan sekali lagi mencuri tumpuan, kali ini menyambut baik hantaran lintang Redzuan Othman dan melepaskan rembatan yang sempat ditepis oleh Syed Adney.

Syed Adney sekali lagi menjadi penyelamat selepas itu apabila sepakan percuma ketua pasukan Perlis, Fauzi Nan ditepis keluar olehnya.

Bersambung babak kedua, jelas aksi bertenaga pemain muda Perlis mengejutkan barisan pemain bintang The Red Warriors.

Rangkaian jentera tengah mereka diketuai oleh Mohd Shazwan, Zuraindey Jumai dan Amar Rohidan jelas menguasai corak serangan pasukan Perlis.

Minit ke-63 dan 66, Ahmad Fakri Saarani hampir meletakkan Perlis dihadapan apabila dua percubaan merbahaya dia selamatkan oleh Syed Adney.

Ternyata gandingan Akmal Rizal-Hairuddin Omar ‘gagal’ menterjemahkan gol buat Kelantan bahkan ketumpulan gandingan mereka tentunya mengundang rasa panik penyokong Kelantan andai kita bertemu dengan Kedah selepas ini.

Sementara itu, sepakan percuma Indra Putra pada minit ke-76 sekadar melepasi palang gol Perlis.

Percaturan taktikal B.Sathianathan memasukkan S.Chanturu dan Che Hisamuddin Hassan bagi memperkuatkan jentera serangan tidak banyak membantu bahkan kelincahan pemain muda Perlis pula yang sentiasa mencemaskan benteng Kelantan.

Minit-minit akhir perlawanan, Che Hisamuddin Hassan melepaskan peluang terbaik untuk Kelantan memungut tiga mata berharga di Kangar setelah gagal memanfaatkan peluang terbuka – rembatannya meliar melepasi jangkauan Mohd Farizal sebelum Rosdi Shahrul meniupkan wisel penamat selepas itu.

Barisan pemain Perlis : Mohd Farizal Marlias, Shariman Che Omar, Mohd Fauzi Nan (KP), Mazlizam Mohamad (Wan Khairul Faiz Wan Kamaruddin), Azmizi Azmi, Mohd Shazwan Zainol, Zuraindey Jumai, Amar Rohidan, Mohd Redzuan Othman (Mohd Noor Hazrul Mustafa), Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Azrul Ahmad.

Ketua Jurulatih : Mohd Nidzam Adzha Yusoff

Formasi : 4-4-2

Barisan pemain Kelantan : Syed Adney Syed Hussien, Azizi Mat Rose, S.Subramaniam. Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin (Muhd Zamri Ramli), Muhd Badri Muhd Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha (S.Chanturu), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Che Hisamuddin Hassan) dan Hairuddin Omar.

Ketua Jurulatih : B.Sathianathan

Formasi : 4-4-2

Pegawai Pertandingan :

Pengadil : Rosdi Shahrul
Penolong Pengadil 1 : Idzha Salim
Penolong Pengadil 2 : Ramli Wahid

1 comment:

  1. tok brapo puah hati meney kelate male tuh. tp lebik baik seri la drpd kaloh

    ReplyDelete