Monday, January 18, 2010

PREVIEW : KELANTAN lwn KEDAH


Tekanan buat Sathianathan juga Haji Ahmad Yusoff
KOTA BHARU – Perlawanan wajib menang. Kali ini tekanan cukup tergalas di atas bahu pengendali, B.Sathianathan. Dua keputusan seri dan satu kemenangan bukanlah satu permulaan yang baik untuk skuad Kelantan.
Biarpun perlawanan liga bakal memasuki perlawanan keempat, mengumpul mata sebanyak mungkin pada permulaan liga merupakan titik tolak kepada pendakian pasukan Kelantan dalam pemburuan salah satu kejuaraan musim ini.
Jadi, pertemuan dengan Kedah malam esok ibarat ‘turning point’ untuk anak-anak buah B.Sathianathan kembali mencatatkan kemenangan di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu.
Tugas berat dipikul oleh semua pemain Red Warriors betapa mereka kini mula mengerti bahawa  penyokong setia Merah Putih hanya mengharapkan kemenangan sahaja pada pertemuan malam esok.
Seri di Kuala Terengganu boleh diterima lagi, tetapi mencatatkan keputusan seri di Kangar dengan penampilan aksi tidak menjadi bahkan jentera serangan gagal membawa masuk bola ke dalam petak penalti menceritakan bahawa jentera serangan B.Sathianathan sememangnya bermasalah.
Itu cerita di kem Kelantan, dan di kem Kedah pun turut menghadapi masalah yang sama juga. Tekanan kian dirasai oleh Ketua Jurulatih, Haji Ahmad Yusoff bahawa mengutip kekalahan tipis dua kali berturut-turut di laman sendiri bukan satu berita yang gembira untuk penyokong setia Hijau Kuning. Menang ke atas Johor 3-0 pada perlawanan pembukaan di Larkin, Kedah meragut dua kekalahan berturut-turut di Alor Setar selepas itu – tewas kepada Perlis 0-1 dan yang terbaru Johor FC juga dengan jaringan yang sama.
Para penyokong setia mereka kini mula menuntut kemenangan – sesuatu yang sukar bagi Kedah tetapi tidak mustahil mereka boleh lakukan sekali lagi musim ini. Rekod pertemuan di antara Kelantan dengan Kedah musim lalu adalah seimbang. Di Alor Setar, Kelantan menewaskan Kedah dengan keputusan 2-1. Manakala di Kota Bharu, giliran Kedah pula membalas dengan kemenangan tipis 1-0.
Membawa masuk beberapa pemain luar seperti Mohd Azlan Ismail (Terengganu), Mohd Zamri Chin (Perak UPB/MyTeam), Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin (Shahzan Muda) dan pemain pertahanan B-23 kebangsaan , Mohd Azmi Muslim – itu percaturan taktikal Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) setelah mereka mengugurkan beberapa pemain seperti Mohd Afif Amiruddin, Manopsak Kram, Muhammad Nazmi Baharom disamping penghijrahan Ronny Harun (Terengganu), Mohd Azrul Ahmad (Perlis) Muhd Rafiz Abu Bakar (Sarawak).
Pertahanan Kedah menyajikan gandingan V.Thirumurugan, Mohd Azmi Muslim, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin dan Mohd Sabree Mat Abu yang mampu menyekat kemaraan penyerang Kelantan.
Biarpun ketiadaan Khryll Muhaimeen yang berehat lama akibat kecederaan lutut, rangkaian jentera tengah mereka harus diawasi sebaiknya. Gandingan Shahrul Nizam Mustapa, Ahmad Fauzi Shaari, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari mampu menguasai segenap padang sekiranya dibiarkan begitu sahaja.
Sementara penyerang yang menjaringkan hatrik pertama musim ini dalam Liga Super – Mohd Azlan Ismail dan rakannya, Mohd Zamri Chin juga harus dirantai secukupnya oleh pertahanan Kelantan andai kita tidak mahu berputih mata. Mohd Farizal Rozali juga bersedia diturunkan oleh Haji Ahmad Yusoff sekiranya rombakan diposisi tersebut dilakukan olehnya.
Berbalik kepada persiapan pasukan Kelantan pada perlawanan ini, B.Sathianathan harus melakukan satu perubahan taktikal andai ingin mencongakkan kemenangan buat Kelantan.
Syed Adney yang beraksi cemerlang sewaktu di Kangar – menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya penyerang Perlis masih lagi tidak melepaskan sebarang gol setelah beraksi untuk 270 minit terus diberi kepercayaan untuk menjadi penjaga gawang Kelantan.
Diposisi pertahanan, Azizi Mat Rose – pemain yang dikritik kerana kerap kali mudah dibolosi tetapi watak kentalnya sebagai ‘kereta kebal’ baru Kelantan masih lagi diperlukan pada perlawanan ini. Dia ternyata masih lagi membentuk gandingan yang mantap bersama S.Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Farisham Ismail.
Di bahagian jentera tengah kita masih lagi mengharapkan sentuhan Indra Putra, Muhd Badri Radzi dan Mohd Shakir yang bermain dengan baik sewaktu di Kangar tempohari. Sementara Norshahrul Idlan Talaha – beraksi dibawah tahap keupayaan yang sebenar masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan formasi Sathianathan. Mungkin juga S.Chanturu berpeluang merebut tempatnya atau Mohd Norfarhan yang belum lagi diturunkan pada tiga perlawanan terdahulu mampu melakukan sesuatu pada pertemuan dengan Kedah ini.
DI posisi serangan, kita mengharapkan akan ada perubahan drastik dilakukan oleh Sathia kalau kita mahu jumlah gol bertambah. Kemampuan Akmal Rizal yang masih mampu mencipta gerakan menarik biarpun dalam situasi sudut sukar  tidak dipertikaikan. Tetapi jelas persembahan Hairuddin Omar begitu mengecewakan – gagal mencipta gerakan menarik, kekurangan idea untuk membawa masuk bola ke kawasan merbahaya pihak lawan. Cuma bersandarkan kepada tandukan berbisanya yang sehingga kini kita masih lagi belum menampakkan sumbangan gol daripadanya.
Masanya sudah tiba untuk Hairuddin dan Akmal Rizal membuktikan kepada penyokong setia Kelantan bahawa pembelian mereka musim ini bukan sia-sia untuk Kelantan. Mereka perlu buktikan bahawa mereka mampu menjadi penyerang terbilang Kelantan dan tidak hanya menjadi penumpang dalam pasukan yang meresahkan puluhan ribu penyokong Kelantan dengan aksi serba longlai.
Buat pengendali, B.Sathianathan tiada lagi alasan untuk keputusan seri apatah lagi kekalahan pada pertemuan ini kerana di bahagian peminat – mereka sudah memberikan segala-galanya – sokongan dan laungan keramat ‘ Gomo Kelate Gomo ‘. Cuma yang kita harapkan kemenangan sahaja pada kali ini.
Sumber berita daripada www.kelate.net (terima kasih Tinta Merah)

1 comment: