Saturday, February 18, 2012

RED WARRIORS TAK BERNASIB BAIK

 Pemain pertahanan Selangor, Ramez Dayuob mengekang kemaraan Norshahrul Idlan Talaha dalam aksi perlawanan Liga Super yang berkesudahan Selangor menewaskan Kelantan 2-1, malam semalam.

KOTA BHARU – Kekalahan 1-2 kepada musuh tradisinya, Selangor bukan sahaja meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan dalam tujuh perlawanan Liga Super musim ini malah menamatkan badi kekalahan kepada pasukan tersebut sejak tiga tahun lalu.

Kelantan yang turun selaku pasukan pilihan untuk terus mengecewakan Selangor gagal mengulangi momentum cemerlang ketika menewaskan Terengganu tempohari dan terpaksa akur dengan percaturan taktikal berkesan oleh pengendali lawan, Irfan Bakti Abu Salim dalam perlawanan tersebut.

Begitupun Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler jelas tidak mudah melatah dengan kekalahan tersebut dan tetap mempertahankan prestasi barisan pemainnya yang disifatkan tidak bernasib baik dalam perlawanan tersebut.

“Anda dapat lihat dalam tempoh 20 minit pertama barisan pemain kita kerap melakukan beberapa gerakan berbahaya namun ketumpulan jentera serangan menggagalkan hasrat kita untuk menjaringkan gol,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.   

“Dalam bola sepak pasti ada yang kalah dan menang. Semalam ternyata bukan malam kita dan kita harus menerima kekalahan ini dengan hati terbuka. Sudah pasti kekalahan pertama ini memberi isyarat kepada saya bekerja lebih keras untuk pasukan.

“Kekalahan ini sememangnya mengecewakan semua peminat tetapi mereka harus ingat saya juga tidak terkecuali merasai kekecewaan ini. Sebagai jurulatih saya bertanggungjawab terhadap jatuh bangun pasukan ini.

Malah Butler tidak menolak faktor keletihan setelah beraksi lebih 100 peratus ketika menewaskan Terengganu di Kota Bharu menjadi punca aksi hambar barisan pemainnya ketika menentang Selangor malam semalam.

“Apa yang boleh saya katakan kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan telah menghadiahkan gol pertama untuk Selangor. Kita terus dihukum menerusi gol kedua pasukan tuan rumah setelah pemain kita terlalu ghairah untuk memburu gol penyamaan.

“Ia (kekalahan ini) belum berakhir malah menjadikan kita begitu bersemangat untuk menghadapi perlawanan akan datang. Sudah pasti kita akan kembali bangkit dan mencipta kemenangan selepas ini.

“Pemain perlu melupakan kekalahan ini dan kembali fokus menjalani latihan dan menghadapi perlawanan penting selepas ini. Kita perlu mempersiapkan pasukan dengan segera kerana perlu bertemu Sarawak dalam pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA di Kota Bharu Sabtu ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment