Monday, February 20, 2012

NWOHA PENUMPANG DALAM RED WARRIORS

Kehadiran Nwoha (kanan) ibarat penumpang apabila aksinya tidak mencerminkan selaku status pemain import baru The Red Warriors ketika menentang Sarawak malam semalam.

KOTA BHARU – ‘Ibarat penumpang dalam pasukan’ Begitulah aksi tempang yang dipamerkan oleh pemain import dari Nigeria, Onyekachi Nwoha sepanjang beraksi selama 83 minit bersama The Red Warriors ketika mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama kempen Piala FA malam semalam.

Raut wajah pengendali The Red Warriors, Peter Butler seakan berkerut memikirkan sumbangan pemain import terbaru Kelantan itu dan beliau memilih untuk memberikan jawapan berlapik ketika ditanya pemberita sejurus perlawanan tersebut berakhir.  

“Anda kecewa dengan Nwoha? Itu saya tidak mahu komen mengenainya. Semua peminat di stadium dan di mana-mana boleh menilai sendiri malam ini. Saya ada pandangan sendiri tetapi saya tidak boleh beritahu anda. Lebih baik saya fokus kepada pasukan.

“Semua pemain bekerja keras dalam perlawanan ini tetapi saya lihat Nwoha belum cergas sepenuhnya. Namun saya mesti berlaku adil dan memberikan masa kepada dia. Mungkin esok saya akan buat penilaian.

Jurulatih berusia 46 tahun itu bagaimanapun tidak dapat lari daripada membuat perbandingan apabila secara jujur mengakui kelibat penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar merupakan pemain import terbaik dimiliki Kelantan setakat ini.

“Ghaddar pemain import terbaik. Saya selalu cakap dia ada banyak perlawanan di sini. Mungkin 10 perlawanan tetapi dia hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti sahaja.

“Tetapi saya perlu realistik dalam perkara ini kerana saya tidak sukakan penalti. Dia tidak bernasib baik hanya kerana gagal menjaringkan gol padang sepanjang 10 perlawanan lalu,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak itu, Butler berkata, kemenangan tersebut bukan mudah dicapai setelah barisan pemainnya diberikan tentangan sengit oleh pemain Sarawak sehingga ke wisel penamat.

“Ini kempen Piala FA dan merupakan saingan kalah mati. Kita tidak ada pilihan selain menang dalam perlawanan ini. Tetapi ia bertukar menjadi sukar apabila Norshahrul Idlan (Talaha) mengalami kecederaan lutut pada awal permainan.

“Sarawak sebuah pasukan yang sukar ditewaskan. Mereka bertandang ke sini dengan semangat juang yang tinggi setelah mencatatkan dua kemenangan dalam saingan Liga Super dan terbukti mereka menyaingi kita malam ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Butler turut menjelaskan pertemuan beliau dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berlangsung dalam suasana yang mesra pada Jumaat lalu.

“Tidak ada apa-apa perbincangan. Kita hanya duduk dan makan-makan sahaja. Ramai orang mencetuskan spekulasi tetapi saya masih kekal di sini. Tugas saya ialah membentuk Kelantan menjadi sebuah pasukan yang kuat tetapi kalau orang tidak suka, saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

No comments:

Post a Comment