Saturday, February 18, 2012

ISU BUTLER - KAFA SELESAI

 Azman (kanan) bersalaman dengan Butler selepas mengadakan perbincangan secara tertutup di Kota bharu, semalam.

KOTA BHARU – “Hanya salah faham”  Perang dingin di antara Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dianggap selesai setelah majikannya itu tampil menjernihkan keadaan semalam.

Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim mengakui masalah komunikasi menjadi punca kepada tercetusnya perang dingin setelah jurulatih berasal England itu mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati dan menyelar tindakan pihak Kafa yang seolah-olah mencampuri urusan kerjanya beberapa hari lalu.

“Tidak timbul langsung soal campur tangan oleh pihak pengurusan. Ia hanyalah salah faham mengenai pemilihan pemain import baru, Onyekachi Nwoha apabila kita perlu menyegerakan urusan pendaftarannya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam keadaan tergesa-gesa. ,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu semalam.

“Pemain import ini tiba di Kota Bharu pada 11 Februari lalu dan Peter Butler sendiri sudah dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa kita akan mengambil pemain import keempat. Kita tidak sempat memperkenalkan pemain ini kepada beliau dan mungkin di situ timbul salah faham mengenai perkara ini.

“Kita mengambil risiko tinggi untuk mendaftarkan pemain itu dengan segera memandangkan tarikh tutup pemain import sehari sebelum perlawanan Selangor menentang Kelantan (14 Februari). Malah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain ini pun diterima beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan,” katanya.

Butler dalam kenyataan medianya sebelum ini dilihat bersikap agak berani apabila mempertikaikan cara pihak pengurusan Kafa memilih pemain import baru itu tanpa merujuk kepada beliau selain menganggap tindakan tersebut mencampuri urusan kerjanya selaku pengendali pasukan The Red Warriors musim ini.

Menurut Azman, soal campur tangan tidak timbul langsung memandangkan pihaknya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada jurulatih berusia 46 tahun itu dalam menentukan corak latihan dan senarai 18 pemain pasukan Kelantan untuk setiap perlawanan Liga Super.

Mengulas mengenai  pemilihan pemain import baru,  Azman berkata, ia dilakukan itu dilakukan memandangkan prestasi Mohammed Ghaddar tidak begitu memuaskan meskipun diberi peluang beraksi dalam lapan perlawanan sebelum ini.

“Kita tidak menamatkan kontrak Ghaddar sebaliknya beliau masih kekal bersama kita. Beliau akan beraksi untuk Kelantan pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC). Malah jika prestasi Nwoha tidak memberangsangkan dalam beberapa perlawanan selepas ini, kita akan menamatkan kontraknya di atas persetujuan bersama dan mendaftarkan semula Ghaddar dalam Liga Super pada 2 April nanti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil ke atas Butler ekoran kenyataan keras beliau sebelum ini, Azman berkata, ia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang akan bersidang pada Sabtu ini.

“Itu saya serahkan kepada jawatankuasa tentukan. Kalau perlu kita panggil, mungkin kita akan panggil beliau. Beliau mungkin ada alasan tersendiri dan kita akan mendengar apa penjelasan beliau nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment