Tuesday, January 3, 2012

HADIAH UNTUK RAKYAT KELANTAN

Nik Abdul Aziz (tiga,kanan) menerima koleksi medal yang diserahkan sendiri oleh Karathu dalam satu majlis ringkas di Kota Baharu, semalam.

KOTA BHARU – “Hadiah istimewa untuk rakyat Kelantan” Begitulah komen ringkas bekas Ketua Jurulatih Kelantan musim lalu, Datuk M Karathu yang menyerahkan tiga medal peribadi milik beliau sepanjang meraih kejayaan bersama The Red Warriors untuk dipamerkan di Muzium Negeri Kelantan bagi tatapan rakyat negeri ini.
 
Karathu berkata, beliau cukup gembira kerana dapat menunaikan janjinya dengan menyerahkan ketiga-tiga medal tersebut kepada Kerajaan Negeri Kelantan meskipun tidak lagi membimbing pasukan The Red Warriors pada musim ini.
 
“Sebelum saingan Liga Malaysia musim lalu berakhir lagi saya sudah berjanji untuk menyerahkannya. Hari ini saya menunaikan janji dengan menyerahkan ketiga-tiga medal ini kepada Kerajaan Negeri untuk tatapan umum rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

”Kejayaan Kelantan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala Liga Super merupakan satu sejarah baru dalam landskap bola sepak negeri ini. Jadi ini merupakan hadiah istimewa saya kepada rakyat negeri ini yang banyak memberikan sokongan sepanjang saya berada di sini (Kelantan).
 
“Mungkin 30, 40 atau 100 tahun lagi rakyat negeri ini dapat mengetahui bahawa pasukan Kelantan pernah bergelar juara. Ini merupakan satu sejarah dan menjadi motivasi kepada generasi akan datang,” katanya.
 
Koleksi medal tersebut iaitu medal Piala Sumbangsih 2011, Juara Liga Super 2011 dan Naib Juara Piala FA 2011 diserahkan beliau sendiri kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di kediaman rasmi, JKR 10 di sini semalam.
 
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Timbalannya, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
 
Ketiga-tiga medal tersebut diraih oleh jurulatih berusia 68 tahun itu sepanjang beliau membimbing pasukan Kelantan pada musim lalu.
 
Sementara itu Abdul Fattah ketika dihubungi berkata, pihak Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Karathu yang banyak berjasa kepada negeri ini dengan membawa pasukan bola sepak Kelantan meraih dua kejuaraan pada tahun lalu.
 
“Sudah pasti kita berasa cukup terharu di atas kesudian beliau menyerahkan medal kepada kita. Beliau sanggup mengetepikan kepentingan individu dan menyerahkan kepada kita dan saya fikir semangat seperti ini harus dikembangkan dalam sukan bola sepak,’ katanya.

1 comment: