Saturday, January 21, 2012

DEVAN PUJI AKSI PEMAIN


KOTA BHARU – Meskipun gagal mencuri satu mata namun persembahan pemain Johor FC yang berjaya memberikan tentangan sengit kepada Kelantan mendapat pujian daripada pengendalinya, K Devan.

Jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemainnya meskipun terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-2 kepada The Red Warriors di Kota Bharu semalam.  

“Tanpa kelibat pemain import sekali pun, saya lihat Johor FC masih dapat menyaingi kehebatan Kelantan. Malah komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain cukup baik dalam perlawanan ini.

“Pada satu ketika kita berjaya mengikat keputusan 1-1 namun sedikit kelekaan di benteng pertahanan membenarkan pasukan Kelantan menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 18 minit untuk ditamatkan.

“Bukan mudah beraksi di Kota Bharu terutamanya di hadapan penyokong setia mereka tetapi saya percaya apabila kita berjaya menjaringkan satu gol ini membuktikan kita masih mampu menyaingi mereka,” katanya.  

Dalam perlawanan tersebut, Kelantan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin pada m-55 sebelum Johor FC menyamakan kedudukan lapan minit kemudian hasil jaringan Ketua Pasukannya, Mohamad Khairul Ismail.

Namun penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha muncul selaku pemusnah apabila meledakkan gol kemenangan Kelantan pada m-72 perlawanan.

Menurut Devan, tempoh rehat selama tiga hari akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan pasukannya sebelum bertemu Perak di Stadium Pasir Gudang pada Sabtu ini.

Mengulas mengenai aksi dua penyerangnya, Mohd Shahrizal Saad dan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal yang pertama kali digandingkan dalam perlawanan tersebut, Devan mengakui berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan mereka.

“Malam ini Mohd Haris Safwan (Mohd Kamal) pertama kali bergandingan dengan Mohd Shahrizal (Saad) setelah menjalani pergantungan dua perlawanan sebelum ini.

“Gadingan dua pemain itu menunjukkan prestasi yang baik dalam perlawanan ini tetapi saya percaya masih ada ruang untuk mereka memperbaiki persembahan masing-masing pada perlawanan akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment