Saturday, December 3, 2011

POKNIK, SYAZWAN JANJI BERI SAINGAN

Aksi mantap Nik Mohd Shahrul Azim (berdiri, tiga kiri) dan Muhammad Syazwan (berdiri, empat kiri) bersama skuad senior Kelantan menarik minat Ong Kim Swee untuk memanggil mereka menjalani latihan bersama Harimau Muda di Sydney pada 10 Disember ini.

KOTA BHARU – Terpilih menyertai skuad Harimau Muda menjalani latihan di Sydney, Australia bermula 10 Disember ini mungkin sesuatu yang menggujakan namun ada janji tersendiri yang dilontarkan dua pemain muda Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dan Muhammad Syazwan Yusoff setelah nama mereka tersenarai seperti yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.  

Bekas Ketua Pasukan Piala Presiden Kelantan musim ini, Nik Mohd Shahrul Azim atau lebih dikenali dengan panggilan Poknik ketika dihubungi tampak agak terkejut dengan berita tersebut namun melahirkan perasaan gembira setelah bakat yang dipamerkan selama ini mula menarik perhatian jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee itu.

“Memang tak sangka pun nama saya tersenarai menyertai latihan bersama skuad Harimau Muda. Pemilihan ini bukan bererti menerbitkan perasaan riak pada diri saya tetapi satu penghormatan bukan sahaja kepada keluarga saya tetapi juga bola sepak Kelantan.

“Insya ALLAH saya berjanji akan menunjukkan prestasi terbaik sepanjang latihan tersebut. Memang saingan tetap ada lebih-lebih lagi ramai pemain dalam skuad Harimau Muda itu ternyata berpengalaman namun itu asam garam dalam bola sepak.

“Terpilih menyertai skuad Liga Super Kelantan untuk musim depan dan menjalani latihan bersama mereka sejak sebulan lalu ternyata memberikan keyakinan yang tinggi. Secara jujur, saya sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk berada dalam satu lagi ‘fasa baru’ karier bola sepak saya ini,” katanya.

Selain Nik Mohd Shahrul Azim yang bakal menyertai dua lagi rakan sepasukan iaitu penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Salahuddin, tuah juga memihak penjaga gol Piala Presiden Kelantan musim ini, Muhammad Syazwan yang turut terpilih untuk menyertai latihan selama 12 hari itu.

Muhammad Syazwan, anak kelahiran Kampung Morak, Tumpat turut mengakui gembira dengan berita tersebut dan menyifatkan ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan sama sekali.

“Nak percaya pun tidak, tak nak percaya pun tidak apabila nama saya tersenarai. Tak sangka macam mimpi pula apabila dipanggil oleh jurulatih, Ong Kim Swee. Insya ALLAH saya berjanji akan buat yang terbaik sepanjang latihan tersebut.

“Saya akui kehebatan dua penjaga gol iaitu Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Izham Tarmizi (Roslan) sememangnya lebih berpengalaman berbanding saya. Namun saya berharap dapat belajar sesuatu daripada mereka berdua sepanjang latihan di Sydney nanti,” katanya.

Rezeki sememangnya sudah tertulis bagi penjaga gol muda berusia 19 tahun itu apabila penampilannya buat pertama kali sepanjang perlawanan pusingan kedua Liga Piala Presiden musim ini sehingga membantu Kelantan muncul juara selain beraksi cemerlang bersama skuad senior dalam persiapan pra-musim ketika ini menarik perhatian Ong Kim Swee untuk disenaraikan menyertai latihan skuad Harimau Muda di Sydney nanti.

No comments:

Post a Comment