Thursday, October 27, 2011

15 KEKAL, 10 GUGUR

Annuar (kanan) menjawab soalan yang dikemukakan oleh pihak media dalam sidang media di Kota Bharu, semalam. Turut hadir ialah Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melakukan tindakan drastik apabila menggugurkan hampir separuh pemain mereka musim ini sebagai persediaan membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun depan

Daripada 25 pemain yang didaftarkan musim ini, seramai 15 pemain tonggak utama pasukan dikekalkan manakala 10 pemain lagi yang dilihat lebih banyak berada di bangku simpanan sepanjang musim ini digugurkan oleh Kelantan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, persiapan pra-musim dilakukan cukup teliti termasuk menyusun dalam kerangka dan proses pemilihan pemain dilakukan lebih ketat bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap pada musim depan.

“Pengumuman senarai awal barisan pemain Kelantan ini menamatkan spekulasi yang tersebar luas sebelum ini mengenai penghijrahan beberapa pemain tonggak utama The Red Warriors ke pasukan lain,” katanya dalam sidang media di Kafe The Red Warriors, di sini semalam.

“Kita perlu membentuk sebuah pasukan yang mantap bukan sahaja bagi menghadapi Kejohanan Piala AFC pada Mac tahun depan tetapi saingan liga yang lebih mencabar. Kejohanan Piala AFC, Liga Super dan Piala FA akan berlangsung serentak dan kita perlu menyiapkan sebuah pasukan yang kuat.

“Kita membuat keputusan untuk mengekalkan hanya 15 pemain berdasarkan penilaian prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang musim ini. Dua pemain Piala Presiden musim ini, Mohd Zamri (Ramli) dan Kapten, Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim) dipilih untuk mewakili pasukan Liga Super kita pada musim depan,” katanya.

Annuar berkata, tiga pemain Piala Presiden iaitu Khairul Izuan Rosli, Mohd Izuan Salahuddin dan Mohd Aris Zaidi pula kekal bersama pasukan mereka tetapi dinaiktaraf untuk menjalani latihan bersama skuad senior Kelantan pada musim depan.

Sementara itu, Annuar juga turut mengumumkan Kelantan bakal diperkuatkan dengan kehadiran lima pemain import tempatan yang akan menyarung jersi The Red Warriors pada musim depan.

“Apa yang boleh saya katakan, empat daripada mereka sudah menamatkan rundingan dan bersetuju untuk bersama Kelantan pada musim depan. Kita tunggu Liga Malaysia berakhir pada 29 Oktober ini dan selepas itu barulah saya akan umumkan. Setakat ini biarlah ia terus menjadi spekulasi dalam kalangan penyokong kita,” katanya.

15 pemain yang dikekalkan ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail, S Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Mohamad Ab Aziz Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi, Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Mohd Nizab Ayub, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, dan Norshahrul Idlan Talaha.

Sementara 10 pemain yang digugurkan ialah Wan Rohaimi Wan Ismail, Wan Zaman Wan Mustapha, Khairan Eroza Razali, Khairan Eruan Razali, Zul Yusri Che Harun, Muhammad Khalid Jamlus, Solehin Kanasian Abdullah, Daniel Fadzly Abdullah, Norhadi Ubaidilah selain penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi yang difahamkan akan mengumumkan persaraannya pada musim ini.

1 comment: