Monday, September 12, 2011

SEMUA SERBA TAK MENJADI - PIYA


KOTA BHARU – “Segalanya serba tidak menjadi” Begitulah komen ringkas Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi tatkala menilai kembali persembahan keseluruhan The Red Warriors walaupun mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FC, malam semalam.

Muhd Bahri atau lebih terkenal dengan panggilan Piya mengakui cukup kecewa dengan aksi yang ditunjukkan oleh beliau dan rakan sepasukannya yang lain apatah lagi ini merupakan pertama kali beraksi dihadapan penyokong setia sendiri dalam kempen Piala Malaysia musim ini. 

“Memang kita menang tapi bukan cara ini sepatutnya kita mencipta kemenangan. Saya akui kegagalan kita memanfaatkan peluang beraksi dihadapan penyokong sendiri. Saya dan rakan yang lain minta maaf diatas aksi serba tidak menjadi ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Kita perlu melupakan aksi mengecewakan tersebut dan memandang ke depan untuk menghadapi saingan seterusnya. Sukar bagi kita menghadapi pasukan tersebut lebih-lebih lagi mereka mengatur strategi dengan meletakkan lima pemain dibahagian tengah.

“Namun saya berharap rakan sepasukan yang lain tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut. Kita belajar daripada kesilapan ini dan memperbaikinya dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Menurut Kapten berusia 29 tahun itu, perlawanan menentang KL Felda United FC pada Rabu ini menjanjikan ujian sebenar bagi beliau dan rakan sepasukan yang lain untuk membuktikan persembahan Kelantan tidaklah seburuk yang disangkakan sejak mengharungi dua perlawanan lalu.

Sementara itu Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim memberi amaran kepada pemainnya untuk tidak mengulangi kesilapan dalam pertemuan menentang Johor FC pada perlawanan akan datang.

Azman Ibrahim

“Saya perhatikan sikap terlalu yakin menjadi punca mengapa kita nyaris kehilangan tiga mata dalam perlawanan ini. Ianya tidak harus berlaku dan inilah padahnya sekiranya kita ambil mudah terhadap setiap lawan yang kita hadapi.

“Mentaliti pemain harus berubah. Gelaran pasukan ‘favourite’ sentiasa memberi tekanan kepada kita. Jadi, mereka perlu mengikis sikap sambil lewa dan tidak menganggap mudah setiap perlawanan. Kesungguhan pasukan Johor FC dalam perlawanan ini adalah satu amaran kepada kita untuk tidak memandang mudah setiap perlawanan selepas ini,” katanya

1 comment:

  1. mikir duo nok gi tgk di stadium selayang. doh la ado live di astro.... huhuhuhu

    ReplyDelete