Monday, September 5, 2011

LAGENDA RAIKAN AHLINYA

Wan Abdul Rahim (duduk, empat kiri) dan Zaidon (duduk, lima kiri) bergambar bersama sebahagian daripada lagenda pemain bola sepak Kelantan dalam majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

KOTA BHARU – Persatuan Lagenda Bola Sepak Kelantan (Lagenda) yang baru ditubuhkan terus mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahlinya dengan menganjurkan majlis berbuka puasa yang berlangsung di Perdana Resort, dekat sini, baru-baru ini.

Seramai 30 bekas pemain bola sepak negeri ini hadir dalam majlis tersebut. Antara yang hadir ialah Presidennya Hamid Ghani, Timbalan Wan Zawawi Wan Yusoff dan bekas pemain seperti Salleh Ibrahim, Dali Omar, Mahadi Yusoff, Nik Fauzi Nik Hassan, Ramli Abdullah, Kamaruddin Mohd Noor dan ramai lagi.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Pengurus Besar Perdana Resort, Zaidon Ismail dan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu turut hadir memeriahkan majlis berbuka puasa yang julung kali diadakan itu.

Wan Abdul Rahim dalam ucapannya berkata, beliau menghargai usaha yang dilakukan pihak Lagenda yang mengadakan majlis berbuka puasa untuk ahlinya bertujuan untuk mengeratkan hubungan yang sedia ada lebih kukuh terjalin.

“Selepas melihat komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Perdana Resort yang menganjurkan majlis berbuka puasa The Red Warriors bersama anak-anak yatim pada awal Ramadan ini, saya terpanggil untuk mengadakan majlis yang sama bagi meraikan lagenda-lagenda bola sepak negeri ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Perdana Resort, diketuai Zaidon Ismail yang merealisasikan hasrat ini. Semoga apa yang dilakukan oleh Lagenda ini merupakan satu permulaan yang baik bagi penganjuran aktiviti-aktiviti lain pada masa akan datang.

“Yang lebih penting, sekurang-kurangnya masyarakat diluar sana mengetahui dan mengenali masih terdapat lagi bintang-bintang bola sepak yang pernah mengharumkan nama negeri ini suatu masa dahulu. Pada saat usia mereka masih ada inilah kita seharusnya mengingati jasa dan pengorbanan mereka,” katanya.

Menurut Wan Abdul Rahim, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh bekas pemain negeri ini yang mengambil inisiatif menubuhkan Lagenda yang antara lain tujuannya ialah untuk menjaga kebajikan ahlinya selain menyalurkan bantuan kepada ahli mereka yang ditimpa kesusahan.

Dalam majlis itu juga, Wan Abdul Rahim turut menyampaikan cenderahati berupa ‘tengkolok’ kepada Karathu diatas kejayaan beliau membimbing negeri ini muncul juara Liga Super musim ini.

“Dia cukup sinonim dengan kita kerana pernah melatih Kelantan kira-kira 18 tahun lalu. Jadi hadiah ini merupakan satu penghargaan daripada masyarakat Kota Bharu kepada beliau diatas kejayaan membawa Kelantan menjulang beberapa piala pada musim ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment