Wednesday, September 28, 2011

KELANTAN, TERENGGANU BERENTAP

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan dalam pertemuan menentang KL Felda United FC, malam tadi

KELANTAN 2
Norshahrul Idlan Talaha (m-62,71)

KL FELDA UNITED FC 0

KOTA BHARU   ‘Ibarat ulangan perlawanan akhir Piala FA musim ini’. Begitulah skrip yang terhasil apabila dua pasukan Gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu akan berentap dalam saingan suku akhir pertama kempen Piala Malaysia pada 10 Oktober ini.

The Red Warriors mengesahkan selaku juara kumpulan C setelah mengalahkan KL Felda United FC 2-0 dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Sementara itu, Terengganu muncul naib juara kumpulan B setelah sekadar seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Beraksi dihadapan hampir 20,000 penyokong setia, Kelantan terpaksa menunggu lebih sejam sebelum memperolehi gol kemenangan menerusi jaringan penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-62 dan 71 perlawanan.

Sebaik sahaja babak pertama bermula, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berbalas serangan namun Kelantan terpaksa menanti sehingga ke m-21 untuk mencemaskan pintu gol KL Felda United FC menerusi hantaran lintang Danial Fadzly Abdullah namun gagal disambar dengan kemas oleh Mohd Izuan Salahuddin.

Tiga minit kemudian, pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid terlepas peluang untuk meletakkan Kelantan berada dihadapan apabila menanduk liar hasil sepakan penjuru yang diambil Danial Fadzly.

Namun pasukan pelawat kembali membalas serangan dua minit kemudian menerusi percubaan kencang Faderin Kadir yang menyaksikan bola rembatannya tinggi melewati pintu gol Kelantan.

Aksi rancak kedua-dua pasukan berterusan seminit selepas itu apabila hantaran lintang Azammuddin Mohd Akil gagal ditangkap kemas penjaga gol, A Zainal Rabin namun Mohd Izuan gagal menampan bola untuk menghasilkan gol bagi Kelantan.

Pasukan pelawat yang merehatkan beberapa tonggak utama dalam perlawanan malam tadi juga mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada m-37. Berpunca serangan balas pantas yang dilakukan, Liew Kit Kong sempat melepaskan rembatan kencang namun terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.

Minit-minit akhir, giliran Azammuddin mencemaskan pintu gol pasukan pelawat namun rembatannya sedikit tersasar disebelah kiri memaksa kedudukan tanpa jaringan kekal bagi kedua-dua pasukan pada babak yang pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan hampir memperolehi gol pertamanya pada m-61 apabila pemain KL Felda United FC, Azrul Azmi tersepak bola ke gawang sendiri dalam usahanya menyekat hantaran lintang Azammuddin namun palang gol menjadi penghalang untuk Kelantan meraikan jaringan yang pertama.

Walaubagaimanapun detik kegembiraan bagi penyokong setia The Red Warriors tiba jua seminit kemudian. Berpunca sepakan lambung Mohd Shakir Shaari ke dalam kotak penalti, Norshahrul Idlan yang tidak dikawal mudah menguis masuk menewaskan A Zainal untuk gol pertama Kelantan.

Norshahrul Idlan terus membuktikan beliau sememangnya layak digelar penyerang terbilang Kelantan apabila menjaringkan gol kedua  pada m-71 perlawanan. Berpunca hantaran jauh Mohd Izuan dari tepi padang, Norshahrul Idlan bijak melepasi kekangan dua pemain pertahanan KL Felda United FC sebelum merembat kencang untuk menewaskan A Zainal sekali lagi.

Ternyata gol tersebut membakar semangat juang anak buah Datuk M Karathu yang kian bernafsu untuk menambahkan jaringan. Hasilnya, dua peluang terbaik dimiliki pada m-74 menerusi rembatan Muhd Badhri yang sedikit melewati pintu gol KL Felda United FC manakala rembatan kencang Norshahrul Idlan tiga minit kemudian sempat ditepis keluar A Zainal digawangnya.

Pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan terlepas peluang untuk melebarkan penguasaan Kelantan apabila rembatannya pada m-85 hanya tersasar beberapa meter daripada pintu gol pasukan pelawat.

Rembatan kencang penyerang KL Felda United FC, Mohd Azrul Ahmad yang diselamatkan Mohd Shahrizan pada minit-minit akhir perlawanan menutup tirai aksi perlawanan malam tadi untuk membolehkan Kelantan melangkah bergaya ke suku akhir setelah bergelar juara kumpulan C.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Wan Rohaimi Wan Ismail), Mohd Farisham Ismail, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohamad Ab Aziz Ismail, Mohd Izuan Salahuddin, Danial Fadzly Abdullah (Muhammad Ramzul Zahini Adenan), Muhd Badhri Radzi (KP) Mohd Shakir Shaari (Khairan Eruan Razali), Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-5-1

KL FELDA UNITED FC : A Zainal Rabin, Rashid Mahmud, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), Azrul Azmi, Muhammad Juzaili Samion, S Sivanesan, K Ravindran (K Rajan), Mohd Lot Abu Hassan (Muhammad Zamri Chin), Liew Kit Kong, Faderin Kadir  dan Mohd Azrul Ahmad.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (1) KL Felda United FC (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) KL Felda United FC (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (9) KL Felda United FC (4)
Sepakan percuma : Kelantan (15) KL Felda United FC (16)
Ofsaid : Kelantan (3) KL Felda United FC (8)
Kekasaran : Kelantan (12) KL Felda United FC (7)
Kad kuning : Kelantan (Mohamad Ab Aziz Ismail) KL Felda United FC (Muhammad Juzaili Samion)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Tiga minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) KL Felda United FC (40%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : WanMohd Tarmizi
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Mohd Faiz Che Mud
Pegawai Keempat : Shamsudin Ibrahim
Kommisioner Perlawanan : Ismail Yaakob
Penilai Pengadil : Mohd Jamil Zakaria
General Kordinator : Arif Hassan

Sebahagian daripada penyokong setia The Red Warriors yang membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Pemain pertahanan Kelantan, Mohamad Ab Aziz berjaya melepasi kekangan Muhammad Juzaili dalam perlawanan malam tadi.

Penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan dengan aksinya tersendiri membawa bola ke kawasan KL Felda United FC.

Aksi perebutan bola diantara pemain Kelantan dan KL Felda United FC didepan pintu gol pasukan pelawat.

Penyerang Kelantan, Azammuddin bersaing hebat dengan Liew Kit Kong dalam aksi pertemuan malam tadi.

Pemain Kelantan meraikan gol pertama yang dijaringkan oleh Norshahrul Idlan.

Norshahrul Idlan bijak memperdayakan pemain KL Felda United FC, Rashid Mahmud dalam usahanya menembusi pintu gol pasukan pelawat.

1 comment: