Tuesday, September 20, 2011

JURANG TERLALU LUAS - ALBERTS

ALBERTS 

KOTA BHARU – Tersingkir lebih awal dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini cukup memeritkan namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh pasukan Sarawak apabila ditunjukkan jalan keluar setelah tewas 0-4 kepada Kelantan, malam semalam.

Biarpun beraksi baik sepanjang perlawanan tersebut, namun itu tidak cukup bagi barisan pemain dari Kepulauan Borneo itu untuk menyekat ‘amukan’ The Red Warriors yang meledakkan empat gol berturut-turut dalam tempoh 10 minit  sebelum wisel penamat dibunyikan.

Ketua Jurulatihnya, Robert Alberts tetap menyuarakan perasaan puas biarpun pasukan bimbingannya gagal mengutip sebarang mata setelah mengharungi empat perlawanan setakat ini.

“Saya tidak menyalahkan pemain diatas kekalahan ini. Mereka sudah mencuba yang terbaik dan saya tetap berpuas hati dengan anak buah saya yang menunjukkan persembahan yang berkualiti dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Saya kena akui jurang antara pasukan Liga Super dengan Liga Premier terlalu luas. Kelantan mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super sementara kami pula sudah empat tahun menghuni dalam Liga Premier.

“Kelebihannya pasukan tuan rumah bijak memanfaatkan peluang terhidang ketika berbaki 15 minit untuk ditamatkan. Tiada apa yang dapat kami lakukan setelah ketinggalan dan hanya setakat itu yang pemain saya mampu tunjukkan kepada saya,” katanya.

Menurut Alberts, kegagalan melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini tidak sesekali melemahkan semangat beliau sebaliknya mengganggap itu sebahagian daripada proses pasukannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim depan.

“Kekalahan ini bukan bererti kami adalah pasukan yang lemah. Malah ianya menjadi pengajaran berguna kepada pemain-pemain muda kami bagi mengharungi saingan yang lebih mencabar pada musim depan.

Semangat juang tinggi pemain Sarawak harus diberi pujian kerana masih mampu memberikan tentang sengit kepada Kelantan

“Kalau kami mempunyai beberapa pemain yang bagus seperti pasukan Kelantan dalam pasukan ini, saya percaya kami mampu memberikan tentangan sengit dalam perlawanan malam ini.

“Tetapi kita harus menerima hakikat inilah persembahan pasukan bertaraf Liga Premier seperti Sarawak. Jadi saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka,” katanya.

1 comment:

  1. huhuhu...menerima kekalahan dengan hati terbuka

    ReplyDelete