Thursday, September 15, 2011

JUARA BERTAHAN TERSUNGKUR

Kesebelasan utama Kelantan yang diturunkan dalam aksi pertemuan menentang KL Felda United FC, malam tadi

KL FELDA UNITED FC 2
Faderin Kadir (m27)
D Saarvindran (m-65)

KELANTAN 0

SELAYANG – Juara bertahan, Kelantan menerima pengajaran berguna dalam kempen Piala Malaysia apabila tewas 0-2 kepada KL Felda United FC dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa gagal menyuntik semangat untuk bangkit walaupun mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang babak kedua perlawanan malam tadi.

Beraksi dalam keadaan padang yang becak, kedua-dua memulakan aksi perlawanan dengan berhati-hati namun Kelantan terlebih dahulu mencetuskan ancaman merbahaya seawal minit ke-12.

Mohd Shakir Shaari hampir memberikan gol pendahuluan untuk Kelantan namun rembatannya daripada luar kotak penalti sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol KL Felda United FC.

Enam minit kemudian,  Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi melepaskan peluang kedua terbaik untuk Kelantan apabila percubaannya hanya tersasar beberapa meter daripada pintu gol pasukan tuan rumah.

Seminit kemudian, pasukan tuan rumah kembali memberikan saingan bermakna apabila D Saarvindran yang tidak dikawal sempat melepaskan sepakan kencang daripada luar kotak penalti yang menyaksikan bola rembatannya sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Namun penyerang KL Felda United FC, Faderin Kadir menceriakan penyokong setia ‘Budak Felda’ apabila menjaringkan gol pertama. Berpunca rembatan kencang Saarvindran yang terkena tiang gol, Faderin yang tidak dikawal didalam kotak penalti terus merembat kencang menewaskan Mohd Shahrizan Ismail untuk gol pertama pasukannya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan kembali menggandakan asakan namun Muhd Badhri sekali lagi mensia-siakan peluang terbaik tiga minit kemudian apabila menanduk liar didepan pintu gol pasukan tuan rumah.

Pada m-37, gerakan menarik diantara Norshahrul Idlan Talaha dan Muhd Badhri juga berakhir dengan kehampaan apabila rembatan Muhd Badhri ditepis keluar Mohd Hamsani Ahmad dipintu golnya.

Seminit babak kedua bersambung, Kelantan kembali beraksi lebih agresif untuk mencari gol penyamaan menerusi percubaan kencang S Chanturu yang menyaksikan bola rembatannya hanya sedikit melewati pintu gol pasukan tuan rumah.

KL Felda United FC yang beraksi secara bertahan pada babak kedua turut mempunyai peluang untuk menambahkan jaringan namun rembatan Faderin diselamatkan Mohd Shahrizan pada m-52.

Pada m-59, penyerang Kelantan, Azammuddin Mohd Akil berjaya memperdayakan Ramesh Lai Ban Huat didalam kotak penalti sebelah kiri namun lorongannya gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan apabila rembatan Mohd Shakir diselamatkan Mohd Hamsani.

Pada m-65, Kelantan sekali lagi terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan leret Mohd Nurul Azwan Roya sedikit melewati pintu gol KL Felda United FC.

Dua minit kemudian, pemain pinjaman daripada Harimau Muda B, Saarvindran terus menambah derita untuk Kelantan apabila menjaringkan gol kedua untuk pasukannya. Rembatan kencangnya daripada jarak 30 meter tepat menerjah jaring sebelah kanan gagal diselamatkan oleh Mohd Shahrizan.

Percaturan taktikal E Elavarasan yang menyaksikan semua pemain beraksi secara ‘berkampung’ terus menyempitkan peluang The Red Warriors untuk memburu gol penyamaan.
Dua peluang dalam tempoh tiga minit bermula pada m-76 menyaksikan rembatan Mohd Shakir diselamatkan Mohd Hamsani manakala percubaan Mohd Nurul Azwan seminit kemudian pula tersasar dipintu gol pasukan tuan rumah.

Satu-satunya peluang terbaik hadir pada m-87 menerusi rembatan kencang Mohamad Ab Aziz Ismail namun palang gol pula menjadi penghalang untuk Kelantan bangkit merapatkan jurang.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol pasukan tuan rumah, Mohd Hamsani yang beraksi cemerlang malam tadi apabila sekali lagi menafikan rembatan kencang Mohamad Ab Aziz tatkala perlawanan hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Kesebelasan utama pemain :

KL FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad, Abdul Ghani Abdul Rahman, Rames Lai Ban Huat, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), Mohd Nizam Abu Bakar, K Rajan (Muhammad Zamri Chin), Mohd Syazwan Zainon (Azrul Azmi), S Sivanesan, D Saarvindran, Faderin Kadir (K Ravindren) dan Mohd Azrul Ahmad.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohamad Ab Aziz Ismail (Zairul Fitree Ishak), Mohd Nurul Azwan Roya, S Chanturu, Muhd Badhri Radzi (KP) (Muhammad Ramzul Zahini Adenan), Mohd Shakir Shaari, Azammuddin Mohd Akil dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : KL Felda United FC (2) Kelantan (8)
Percubaan tersasar : KL Felda United FC (1) Kelantan (5)
Sepakan penjuru : KL Felda United FC (2) Kelantan (11)
Sepakan percuma : KL Felda United FC (21) Kelantan (14)
Ofsaid : KL Felda United FC (4) Kelantan (2)
Kekasaran : KL Felda United FC (14) Kelantan (12)
Kad kuning : KL Felda United FC (Mohd Syazwan Zainon, S Sivanesan dan Mohd Nizam Abu Bakar)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Sembilan minit
Penguasaan bola : KL Felda United FC (47%) Kelantan (53%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Mohd Zohri Tajudin
Penolong Pengadil 1: M Mu’azi Zainal Abidin
Penolong Pengadil 2: Ahmad Azanor Huslan
Pegawai Keempat : Kamal Ahmad
Kommisioner Perlawanan : S Paramasivam
Penilai Pengadil : Ahmad Zuhairi M Sham
General Kordinator : Mohd Noorzaihan Aziz

Sebahagian daripada penyokong setia Kelantan yang membanjiri stadium untuk menyaksikan pertemuan KL Felda United Fc menentang Kelantan, malam tadi.

Annuar (tiga,kanan) dan Sathianathan (empat,kanan) turut hadir menyaksikan perlawanan malam tadi.

Bek kiri Kelantan, Mohamad Ab Aziz Ismail dan pemain KL Felda United FC bersaing hebat untuk merebut bola.

Kapten Kelantan, Muhd Badhri terjatuh setelah diasak pemain KL Felda United, Mohd Syazwan

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan (dua,kanan) cuba melarikan bola biarpun cuba dipintas Mohd Syazwan.

Muhd Badhri terbaring setelah dikasari penjaga gol KL Felda United FC, Mohd Hamsani didepan pintu golnya.

Pengadil perlawanan memberikan amaran lisan kepada penyerang KL Felda United FC, Mohd Azrul Ahmad setelah beliau mengasari Mohamad Ab Aziz dalam perlawanan malam tadi. 

No comments:

Post a Comment