Tuesday, August 9, 2011

AZAMMUDIN SAH SERTAI KELANTAN

Azzamuddin Akil (kanan) dilihat bakal memperkuatkan lagi jentera serangan Kelantan untuk saingan Piala Malaysia musim ini.

KOTA BHARU - Teka-teki pemain mana yang dipinjam oleh Kelantan bagi memperkuatkan pasukan menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini akhirnya terjawab apabila penyerang Pahang, Azammuddin Mohd Akil disahkan bakal menyarung jersi The Red Warriors.

Malah pemilihan pemain yang berasal Kampung Relong, Kuala Lipis ini sebagai pemain pinjaman mengakhiri khabar angin yang tersebar sejak beberapa minggu lalu mengenai usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memancing pemain tersebut bagi menguatkan jentera serangan The Red Warriors.

Azammuddin, 26 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Alex’ pernah beraksi dengan kelab Shahzan Muda dan UPB Perak - MyTeam akan mula melaporkan diri bagi menyertai sesi latihan bersama pemain skuad The Red Warriors pada hari ini.

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan penjaring gol kedua terbanyak pasukan Tok Gajah musim ini merupakan satu-satunya pemain tunggal yang dipinjam oleh pasukan Kelantan bagi mempertahankan kejuaraan yang menangi musim lalu.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Presiden PBNP, Yang Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana memberi perkenan meluluskan permohonan kita untuk mendapatkan khidmat penyerang itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Daripada tiga kuota pemain pinjaman diperuntukkan, kita hanya meminjam seorang pemain sahaja iaitu Azammuddin (Mohd Akil) untuk memperkuatkan pasukan. Dia bakal digandingkan Norshahrul Idlan (Talaha) diposisi serangan.

“Saya lihat pemilihan pemain ini tepat pada masanya setelah posisi serangan kita menghadapi masalah penyudah dalam kempen Liga Super baru-baru ini. Kehadiran pemain ini memberi pilihan kepada jurulatih Datuk M Karathu untuk menyelesaikan masalah diposisi tersebut,” katanya.

Walaubagaimanapun Azman menjelaskan, kehadiran Azammuddin bukan bermakna tempat baginya sudah terjamin sebaliknya beliau juga perlu bersaing dengan penyerang yang lain bagi merebut posisi serangan itu.

“Peluang terbuka untuk penyerang yang lain seperti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan), Mohd Nizab (Ayub) dan Muhammad Khalid (Jamlus) merebut tempat dengan syarat mereka perlu membuktikan prestasi mereka harus berada ditahap terbaik.

“Selama ini pun mereka juga sentiasa diberi peluang oleh pihak pengurusan. Jadi dengan kehadiran Azammudin (Mohd Akil) itu diharap mencetuskan persaingan yang sihat dalam kalangan mereka untuk merebut posisi tersebut.

“Insya Allah, dengan kehadiran pemain tersebut serta lima muka baru daripada skuad Piala Presiden Kelantan yang diserap ke dalam skuad senior, kita mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu,” katanya.

1 comment: