Thursday, May 26, 2011

RED WARRIORS TUMBANG


KELANTAN 1
Mohd Nurul Azwan Roya (m-86)

T-TEAM 2
Mohd Badrul Hishani Abd Rahman (m-45)
Indra Putra Mahayuddin (m-97)

KOTA BHARU – Rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri musim ini akhirnya lebur setelah kecundang 1-2 kepada T-Team dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Gol pemusnah menerusi bekas Ketua Pasukan Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahayuddin pada m-97 perlawanan memaksa The Red Warriors melepaskan gelaran pendahulu liga kepada Terengganu yang mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Pahang malam tadi.

T-Team yang bertandang ke Kota Bharu dengan misi sukar untuk memburu kemenangan memulakan asakan seawal minit kedua menerusi hantaran lintang Mohd Badrul Hishani Abd Rahman ke dalam kotak penalti namun tandukan Mohd Hafis Safwan Md Kamal tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Dua minit kemudian, Kelantan kembali membalas serangan kali ini menerusi lorongan cantik Mohd Farisham Ismail kepada Norshahrul Idlan Talaha didalam kotak penalti namun penjaga gol T-Team, Mohd Zairi Hafiezi Idris terlebih dahulu keluar menyelamatkan keadaan.

Pada minit keenam, pasukan pelawat nyaris memperolehi gol pertamanya menerusi percubaan pemain tengah, Zairo Anuar Zailani dari luar kotak penalti yang memaksa penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat merebahkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut.

Begitu pun, Kelantan turut berpeluang berada didepan enam minit kemudian menerusi gerakan solo Mohd Nurul Azwan Roya dari tengah padang namun rembatannya cukup lemah untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Tiga minit kemudian, Mohd Nurul Azwan sekali lagi bijak memperdayakan Norfazly Alias di penjuru padang tetapi rembatan leretnya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol T-Team.

Pada m-24, Muhd Badhri Radzi yang menerima hantaran lintang S Chanturu mensiakan peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan dihadapan apabila tandukannya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol.

Pada m-42, gerakan solo menarik Norshahrul Idlan berjaya memperdayakan tiga pemain pertahanan T-Team namun rembatan kencangnya diselamatkan Mohd Zairi Hafiezi digawang gol pasukannya.

Minit-minit akhir babak pertama, T-Team memperolehi gol pertamanya hasil ‘jaringan kontroversi’ menerusi rembatan Mohd Badrul Hisani setelah berlaku situasi kelam kabut didepan pintu gol Kelantan.

Tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati pemain Kelantan yang mendakwa bola yang dihantar Mohd Norfarhan kepada Mohd Badrul Hisani sebelum itu sudah pun terkeluar daripada garisan kawasan permainan.

Tiga minit babak kedua bersambung, pasukan T-Team gagal menjarakkan kedudukan apabila serangan balas pantas menerusi Mohd Norfarhan Muhammad gagal dimanfaatkan dengan sempurna Mohd Haris Safwan didepan pintu gol Kelantan.

Pada m-55, Zairo Anuar yang menerima umpanan Indra Putra Mahayuddin sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila merembat kencang ke pintu gol Kelantan namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi.

Namun selepas itu, pengadil perlawanan, Shokri Nor terpaksa menghentikan perlawanan terhenti hampir enam minit gara-gara segelintir penyokong Kelantan bertindak membaling objek ke dalam padang.

Begitupun rentak pasukan T-Team tidak mudah terganggu dengan insiden tersebut sebaliknya kian rancak melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan. Hasilnya pada m-66, Mohd Norfarhan hampir menambah derita pasukan Kelantan menerusi tandukan tajam didepan pintu gol Kelantan namun diselamatkan sekali lagi Khairul Fahmi.

Pujian harus diberikan kepada dua pemain pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose dan Norfadzly Alias yang beraksi cemerlang mengekang asakan bertali arus pemain Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kelantan mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas itu apabila rembatan kencang Norshahrul Idlan pada -74 diselamatkan Mohd Zairi Hafiezi sementara Muhd Badhri pula mensia-sia peluang terbaiknya apabila menyepak liar pada m-79 sekalipun tidak dikawal oleh pemain pasukan pelawat.

Akhirnya gol penyamaan Kelantan hadir pada m-86 perlawanan menerusi jaringan Mohd  Nurul Azwan yang merembat kencang setelah menerima hantaran pendek Norshahrul Idlan didalam kotak penalti.

Namun kesilapan pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang gagal mengeluarkan bola didepan pintu gol Kelantan pada masa tambahan akhirnya dihukum menerusi rembatan rendah Indra Putra menewaskan Khairul Fahmi untuk memastikan rekod tanpa kalah bekas pasukannya dihalaman sendiri berakhir malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak (Mohd Izuan Salahuddin), Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Danial Fadzli Abdullah), S Chanturu (Mohd Nizab Ayub) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

T-TEAM : Mohd Zairi Hafiezi Idris, Azizi Matt Rose, Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Mohd Shahrul Ezrain Samsudin, Zairo Anuar Zailani, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Muhd Badrul Hisani Abd Rahman (Hisbullah Awang), Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Haris Safwan Md Kamal (Azrul Hazran Amiludin Baki).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (1) T-Team (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (4) T-Team (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (11) T-Team (8)
Sepakan percuma : Kelantan (13) T-Team (12)
Offsaid : Kelantan (0) T-Team (2)
Kekasaran : Kelantan (10) T-Team (11)
Kad kuning : Kelantan (Zairul Fitree Ishak) T-Team (Zairo Anuar Zailani dan Mohd Haris Safwan Md Kamal)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : 11 minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) T-Team (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shukri Nor
Penolong Pengadil 1: Wan Ismail Wan Ali
Penolong Pengadil 2: Ismail Samid
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Noor
Kommisioner Perlawanan : Mohd Jamil Zakaria
General Kordinator : Arif Hassan





1 comment:

  1. x po lah kaloh pom..... keno bangkit pulok ni. kito gomo pehe pulok. pahtu timbok teganum 2 kali

    ReplyDelete