Monday, May 2, 2011

RAZIP BANGGA AKSI PEMAIN

RAZIP ISMAIL

KOTA BHARU – Tewas dalam dua perlawanan berturut-turut cukup memeritkan, namun itu hakikat yang terpaksa ditelan oleh pasukan Kuala Lumpur yang memulakan aksi cemerlang pada awal saingan namun kembali tenggelam pada pertengahan liga.

Tunduk melawan 5-3 kepada Perak tempohari, kali ini skuad warga kota sekali lagi dikecewakan setelah tewas 0-2 kepada Kelantan dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.

Jurulatih Kuala Lumpur, Mohamed Razip Ismail mengakui sekali pun tewas namun beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pemain mudanya yang menunjukkan kebangkitan melawan dalam perlawanan itu.

“Kita tewas kepada pasukan bergelar juara sebenarnya. Dalam bola sepak, kadang-kala pengalaman amat diperlukan dan itu yang memisahkan antara pasukan Kuala Lumpur dengan Kelantan pada perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya daripada awal hingga akhir perlawanan. Mereka bermain dengan baik tetapi jelas Kelantan berada didalam kelasnya yang tersendiri apabila mengambil kesempatan menjaringkan gol daripada peluang yang dimiliki.

“Kehebatan Kelantan terletak kepada keupayaan pemainnya menjaringkan gol dalam apa cara keadaan sekali pun. Namun, saya lihat pemain saya masih dapat menyaingi corak permainan Kelantan dalam perlawanan ini. Itu sesuatu yang positif bagi kami apabila bertemu dengan pasukan yang kuat seperti Kelantan,” katanya.

Menurutnya, beberapa peluang terbaik yang dimiliki terutamanya pada separuh masa kedua namun gagal disempurnakan oleh jentera serangan memaksa pasukannya pulang hampa biarpun dilihat berpeluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam perlawanan malam semalam. 

Kesebelasan utama pemain Kuala Lumpur terbukti memberikan tentang sengit kepada Kelantan dalam aksi perlawanan Liga Super, malam semalam.

“Separuh masa kedua memang kita mempunyai banyak peluang namun dinafikan oleh penjaga gol, Khairul Fahmi (Che Mat). Sekiranya kita dapat menjaringkan gol, keputusan perlawanan mungkin boleh berubah.

“Saya melihat adanya peningkatan persembahan pemain berbanding kita tewas 5-3 kepada Perak tempohari. Saya memuji komitmen yang ditunjukkan pemain saya yang tidak mudah menyerah kalah dalam perlawanan ini.

“Namun inilah hakikat dalam bola sepak. Kita masih lagi gagal untuk mendapatkan satu atau tiga mata dalam tiga perlawanan terakhir ini. Begitupun secara keseluruhannya, saya berpuashati biarpun kalah dalam perlawanan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment