Monday, May 2, 2011

KELANTAN FOKUS TIGA MATA

Pemain pertahanan, S Subramaniam yang menunjukkan aksi cemerlang dijangka berada didalam kesebelasan utama pemain Kelantan, malam ini.

KOTA BHARU – Atas kertas kelebihan mungkin berpihak kepada Kelantan untuk terus mengekalkan rentak kemenangan, namun The Red Warriors tetap tidak memandang mudah apabila bertemu Kuala LumpurSultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu awal-awal lagi tidak mahu mendabik dada sebaliknya mendedahkan betapa kehadiran skuad warga kota itu mampu mengundang masalah sekiranya anak buahnya tidak memberi sepenuh perhatian dalam perlawanan malam ini.

“Saya lihat, Kuala Lumpur merupakan sebuah pasukan cukup kuat. Mereka kalah 5-3 kepada Perak tetapi yang menariknya mereka menjaringkan tiga gol dalam perlawanan itu. Saya tidak pernah menganggap pertemuan ini sesuatu yang mudah bagi Kelantan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Dalam perlawanan pusingan pertama, kita menang 2-0 ke atas mereka namun kita menghadapi kesukaran sebelum dapat menjaringkan gol pada separuh masa kedua. Memang Kuala Lumpur dibarisi pemain muda tetapi semangat juang pemainnya sudah pasti membara apabila bertemu dengan pasukan kuat seperti kita.

“Jadi saya anggap kita perlu berhadapan dengan satu lagi tugasan sukar disini. Selepas dua perlawanan ditempat sendiri pada pusingan kedua, kita ada 11 perlawanan lagi bakal diharungi. Sudah pasti kita kena bersedia sepenuhnya untuk menang semua perlawanan ditempat sendiri termasuk bertemu Kuala Lumpur malam ini,” katanya.

Menurutnya, anak buah Razip Ismail itu sudah pasti bertandang ke Kota Bharu dengan strategi bertahan bagi menahan asakan jentera serangan Kelantan dan beliau sudah mengingatkan pemainnya untuk bersedia menghadapi situasi tersebut.

“Mungkin mereka akan bermain secara bertahan dengan sembilan pemain akan berkampung di pintu gol mereka apabila kita melancarkan serangan. Mereka cuma mengharapkan serangan balas pantas ke pintu gol kita.

“Saya tidak bersedia mempertaruhkan beberapa pemain muda seperti Mohd Izuan (Salahuddin) dan Khairan Eruan (Razali) didalam kesebelasan utama pemain. Percaturan seperti itu boleh menjerat diri kita. Mereka hanya boleh diturunkan sekiranya kita berada dalam keadaan selesa apabila mendahului pasukan lawan.

Sementara itu, Karathu mengakui perebutan takhta kejuaraan liga semakin sengit sambil beliau sendiri turut membayangkan mungkin penentuan juara hanya dapat ditentukan hanya pada penghujung saingan liga.

“Tidak boleh hendak kata samada Selangor, Terengganu atau Kelantan berada dalam keadaan selesa sekarang. Tiga pasukan ini hanya dibezakan dengan jumlah mata yang sangat sedikit. Semua pasukan hendak menang dan mengelakkan untuk kalah. Saya rasa penentuan juara hanya dapat ditentukan sebaik saingan liga berakhir,” katanya.

Dengan semua pemain dilaporkan bebas daripada masalah penggantungan perlawanan dan kecederaan kecuali Solehin Kanasian Abdullah yang sudah pasti terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan buku lali, Karathu dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menyenaraikan kesebelasan utama terbaik Kelantan pada malam ini.

No comments:

Post a Comment