Wednesday, January 19, 2011

SATHIA BERANG AKSI PEMAIN

B SATHIANATHAN

KOTA BHARU – Dua kekalahan berturut-turut skuad Kelantan mengundang perasaan marah pengendali, B Sathianathan terhadap kemampuan meragukan anak-anak buahnya setelah terbaru tewas kepada pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana musim ini.

Tanpa lagi berselindung, tahap kesabaran beliau kini sudah sampai ke kemuncaknya setelah menyaksikan Kelantan tewas 0-1 kepada pasukan Pulau Pinang USM FC di Stadium Olahraga USM, Minden malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian S Veloo itu berjaya menjaringkan gol tunggal menerusi Mohd Baser Mohd Napea pada min-45 perlawanan.

“Saya berpuas hati kita kalah 1-0 kepada Kedah kerana kita bermain dengan baik. Cuma nasib tidak menyebelahi kita tewas angkara gol sendiri pemain kita dalam perlawanan itu. Namun kekalahan kedua ini bukan satu perkara yang menggembirakan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mereka malas dan langsung tidak bergerak diatas padang. Ramai pemain masih ingat kita adalah pasukan juara dan bertemu dengan pasukan bertaraf Liga Perdana, jadi mereka tak kisah dan pandang rendah pasukan itu. Itu yang salah tentang mentaliti pemain kita.

“Saya dah bertemu dengan semua pemain dan bercakap dengan mereka. Harap mereka dapat ubah sikap. Kalau kita mahu berlagak sebagai juara maka kita perlu menunjukkan persembahan seperti juara. Dalam bola sepak tidak ada keputusan yang diperolehi dengan begitu mudah,” katanya.

Menurut Sathianathan, dalam perlawanan tersebut beliau menurunkan ‘dua pasukan’ bagi menguji kemampuan semua pemainnya tetapi beliau hairan apabila pasukan kedua dilihat lebih baik beraksi dalam perlawanan tersebut.

“Saya turunkan pasukan A tetapi kita kena satu gol (1-0) kemudian saya turunkan pasukan B kita tidak bolos. Bahkan pasukan B lebih baik beraksi berbanding dengan pasukan A. Itu yang menghairankan saya.

“Saya tekankan kepada pemain, tiada istilah pemain bintang dalam pasukan ini. Kalau pemain bertaraf bintang sekali pun, gaji beribu-ribu ringgit tetapi malas dan tidak bergerak di atas padang tidak ada gunanya. Semua pemain adalah sama bagi saya.

“Apa yang penting mereka harus berubah sikap dan juga pemikiran. Saya menuntut satu keputusan terbaik daripada dua perlawanan persahabatan (menentang Perlis dan Pulau Pinang) terakhir ini sebelum kita pulang ke Kota Bharu,” katanya.

No comments:

Post a Comment