NICHOLAS CHAN
KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil Nicholas Chan, pemain remaja yang pernah menimba pengalaman dengan kelab Cardiff City merupakan satu tindakan yang bijak dan disifatkan untuk pelaburan jangka panjang.
Sathianathan berkata, peminat bola sepak Kelantan harus memberi peluang kepada Nicholas Chan kerana dia baru sahaja menjalani latihan bersama skuad Liga Super Kelantan tidak sampai seminggu.
“Dia sememangnya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan Kelantan. Dia tidak pernah bermain dalam perlawanan kompetitif, jadi saya berharap para peminat tidak terlampau memberi harapan yang tinggi kepada dia apabila bermain dengan Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Peminat tidak patut melabelkan dia sebagai pemain yang mempunyai kemahiran yang tinggi kerana dia perlu bermain dengan skuad Piala Presiden Kelantan pada masa ini. Cuma dia dipilih untuk menjalani latihan bersama pasukan senior.
“Saya hanya akan memanggil dia untuk bermain dengan pasukan senior apabila dia betul-betul bersedia untuk turun bermain dan menunjukkan persembahan yang cemerlang,” katanya.
Sathianathan berkata, walaupun Nicholas pernah menjalani latihan bersama kelab Melbourne di Australia baru-baru ini tetapi dia apabila dia datang menjalani latihan bersama dengan Kelantan, dia tetap diberi layanan yang sama.
Nicholas (tengah) tetap gigih menjalani latihan bersama Kelantan sekali pun tidak sampai seminggu baru melaporkan diri bersama skuad ini.
“Cuma peminat kena faham, ini merupakan sebahagian daripada perancangan Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) untuk tempoh jangka masa panjang. Kita kena melihat untuk tahun 2012 hingga 2013, bukan masa sekarang.
“Apa yang boleh saya katakan, dia mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pemain profssional. Untuk menjadi seorang pemain profesional di Eropah bukannya senang tetapi dia mempunyai ciri ke arah itu. Saya memuji dengan sikap dia setakat ini.
“Kita boleh lihat tahap profesionalisme yang ada pada diri dia. Cara dia jaga diri, jaga pemakanan, displin amat berbeza. Itu yang bagus tentang dia dan saya harap pemain tempatan kita dapat belajar sesuatu daripada dia,” katanya.
Nicholas, anak kepada pemilik kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee difahamkan mengikat kontrak selama enam bulan untuk beraksi bersama skuad Piala Presiden Kelantan musim ini. Namun dia dinaiktaraf untuk menjalani latihan bersama skuad Liga Super Kelantan.
No comments:
Post a Comment