Thursday, January 20, 2011

KEMENANGAN PERTAMA NYALA SEMANGAT PEMAIN

Annuar Musa menyampaikan piala kejuaraan kepada Kapten Kelantan, Muhd Badhri Radzi

PERLIS 0

KELANTAN 2
Norshahrul Idlan Talaha (m-40)
S Chanturu (m-87)

KANGAR – Kelantan mencatatkan kemenangan pertama daripada tujuh perlawanan persahabatan yang diharungi setakat ini apabila menewaskan Perlis 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar malam semalam.

Kejayaan menewaskan Singa Utara 2-0 di Kangar malam semalam juga menyaksikan Kelantan serentak turut dinobatkan sebagai juara edisi kedua Piala Muhibbah Datuk Seri Shahidan Kassim sejak ianya diperkenalkan pada tahun lalu. Pada edisi musim lalu, Kelantan muncul juara setelah mengalahkan Perlis 4-1 di Kota Bharu.

Dalam perlawanan malam semalam, pengendali pasukan, B Sathianathan menampilkan kesebelasan terbaik skuad Kelantan termasuk menurunkan pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat sementara Perlis yang dibimbing Mosthakeen Omar mempertaruhkan hampir sebahagian muka baru membarisi skuad mereka musim ini. 

Kesebelasan utama pemain Kelantan yang turun menentang Perlis dalam perlawanan persahabatan di Stadium Utama Negeri, Kangar malam semalam.

Dua gol menerusi jaringan Norshahrul Idlan dan S Chanturu pada minit-minit akhir babak pertama dan kedua sudah cukup memberikan sedikit kelegaan kepada B Sathianathan setelah tewas dalam dua perlawanan persahabatan kepada Kedah 0-1 dan Pulau Pinang USM FC dengan jaringan yang sama tempohari.

Beraksi dihadapan hampir 150 peminat bola sepak tempatan, rangkaian penyerang Perlis diketuai bekas pemain Selangor PKNS FC musim lalu, Syed Mohd Abdul Ghafar Syed Amir dan Mohd Faiz Subri memulakan asakan merbahaya ke pintu gol Kelantan yang dikawal Khairul Fahmi namun kekentalan benteng pertahanan Kelantan menafikan hajat pasukan tuan rumah.

Keghairahan semangat juang pemain muda Perlis terbukti apabila nyaris memperolehi gol pertama pada m-33 melalui gerakan merbahaya penyerangnya namun bek tengah Kelantan, Mohd Farisham Ismail berjaya mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya.

Pada m-40, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan mencuri tumpuan apabila berjaya menjaringkan gol pertama pasukan Kelantan apabila bijak memanfaatkan peluang yang terhidang didepan pintu gol pasukan tuan rumah.


Pada babak kedua, Kelantan sekali lagi melancarkan serangan kali ini menerusi Mohd Nurul Azwan Roya namun gagal menambahkan koleksi gol untuk Kelantan apabila sepakannya sekadar menerjah jaring sisi pintu gol Perlis.

Pada m-64, giliran Norshahrul Idlan pula mensia-siakan peluang terhidang apabila menanduk liar hantaran cantik S Chanturu dari sebelah kanan pintu gol seterusnya menyelamatkan pintu gol tuan rumah daripada terus dibolosi.

Sebaliknya, anak-anak buah Mosthakeen Omar harus menyalahkan diri sendiri apabila  ketumpulan jentera serangan dan kegagalan jentera tengah pasukan mereka merencanakan gerakan merbahaya menafikan peluang mereka untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Minit-minit akhir perlawanan, Kelantan memperolehi gol kedua hasil jaringan S Chanturu menerusi rembatan jarak dekat membolehkan Kelantan mencipta kemenangan pertama daripada tujuh perlawanan persahabatan diharungi setakat selain membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Muhibbah Datuk Seri Shahidan Kassim buat kali kedua berturut-turut.

Kesebelasan utama pasukan:

Perlis : Mohd Amirul Rosli, Mohd Rozaidi Abd Rahim, Muhamad Munawar Shavukath Ali, Azmizi Azmi (KP), Mohd Hafizuan Sallehuddin, Mohd Hazwan Zainun, Hadi Syahmi Hamzah, Mohd Fadli Baharum, Mohd Sany Mat Isa, Syed Mohd Abdul Ghafar Syed Amir dan Mohd Faiz Subri.

Kelantan : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail (Wan Rohaimi Wan Ismail), Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohamad Ab Aziz Ismail) Khairan Eroza Razali (Mohd Khairul Izuan Rosli), Muhd Badhri Radzi (KP) (Mohd Shakir Shaari), Mohd Daniel Fadzly Abdullah (Wan Zaman Wan Mustapha), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha (Mohd Nizad Ayub).

No comments:

Post a Comment