Wednesday, January 26, 2011

KAFA AKUR PENGGANTUNGAN SATHIANATHAN


B Sathianathan tetap tenang menjawab soalan daripada media mengenai penggantungan jawatannya.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima dengan terbuka keputusan hukuman penggantungan selama enam bulan ke atas Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan oleh Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa dua hari lalu

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya berdukacita dengan keputusan itu tersebut tetapi pada masa yang sama terpaksa menerima hakikat disaat sepak mula Liga Malaysiai hanya berbaki empat hari sahaja lagi.

“Sebagai sebuah pasukan yang tertakluk kepada peraturan-peraturan yang tertentu, kita mengambil sikap menerima keputusan yang telah ditetapkan. Ini bermakna Kelantan tidak dapat mendaftarkan Sathianathan sebagai Ketua Jurulatih sebagaimana yang telah ditetapkan dalam syarat pertandingan,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Setiap pasukan Liga Super diwajibkan mendaftarkan dan dilatih oleh seseorang jurulatih yang mempunyai kelayakan Lesen A. Itu merupakan salah satu syarat wajib bagi membolehkan kita bermain dalam Liga Super.

“Ekoran daripada penggantungan ini, bermakna kita tidak dapat menandatangani kontrak bersama beliau dalam tempoh tertentu. Dalam tempoh penggantungan itu, beliau tidak dapat meneruskan tugas sebagai Ketua Jurulatih Kelantan,” katanya

Menurut Annuar, apa yang menjadi isu sekarang ialah mengenai kedudukan Sathianathan bersama pasukan Kelantan ekoran hukuman penggantungan tersebut.

“Soal perletakkan jawatan tidak berbangkit. Kita telah bermesyuarat semalam dan memutuskan bahawa beliau kekal bersama dengan Kafa tetapi akan menjalankan tugas-tugas yang tidak tertakluk dibawah penggantungan tersebut.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan beliau dan kita telah bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Teknikal dan Pembangunan kepada saya sendiri dan pada masa yang sama akan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada sebuah Akademi The Red Warriors yang akan kita tubuhkan tidak lama lagi.

“Saya juga menasihati para penyokong Kelantan untuk menerima keputusan ini dengan tenang dan jangan melakukan sesuatu perkara yang tidak baik. Saya akan uruskan dengan baik perkara ini dan kita tetap akan bergerak ke hadapan seperti biasa,” katanya. 

Kelmarin, Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud dalam sidang akhbarnya di Kelana Jaya mengumumkan Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan penggantungan enam bulan ke atas B Sathianathan bermula 24 Januari sehingga 23 Julai tahun ini.

Sathianathan, 53 tahun, didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin FAM dan dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung isu stadium tuan rumah membabitkan perlawanan Liga Super diantara Perlis dan Terengganu pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment