Saturday, January 29, 2011

BALAS KEPERCAYAAN PEMINAT - PIYA


KOTA BHARU – Bekas Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan menyuarakan keyakinan bahawa penggantinya, Datuk M Karathu berupaya meneruskan kegemilangan skuad The Red Warriors (TRW) mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Sathianthan berkata, pemilihan Karathu sebagai pengganti beliaunya  adalah  amat tepat  berdasarkan pengalamannya disamping pernah menjadi jurulatih Kelantan suatu ketika dahulu.

“Dia pernah bekerja disini dan saya percaya dia memahami kehendak orang Kelantan. Walaupun tanggungjawab ini amat berat tetapi saya yakin dengan kebolehan dan kepakaran yang ada, dia mampu memberikan sesuatu buat pasukan kita,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Dia pernah menjadi guru saya dan saya pernah menjadi pembantu kepada dia ketika mengemudi Negeri Sembilan dan dia telah banyak mengajar tentang aspek kejurulatihan dan dia memang seorang jurulatih yang cukup berpengalaman.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua termasuklah pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), media dan para penyokong yang telah memberikan sokongan yang cukup baik sepanjang dia menjalankan tugas,” katanya.

Ditanya mengenai rancangan beliau selepas ini, Sathianathan memberitahu beliau akan terus bersama The Red Warriors dalam usaha mencungkil lebih banyak bakat-bakat baru diperingkat akar umbi bola sepak di negeri ini.

 “Rancangan saya selepas ini ialah akan membantu pihak Kafa mengendalikan akademi yang ditubuhkan oleh Kafa dan Al-Hamra dan ini merupakan tahun pertama dan kita akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mendirikan pusat latihan yang ditaja oleh pihak happy.

“Tugas saya adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru dibawah umur 16 tahun. Saya akan membantu Karathu untuk mengenal pasti pemain pasukan Kelantan. Dulu bila Butler (Peter James Butler) tinggalkan Kelantan tidak ada orang yang bantu saya.

“Tetapi kali ini saya dilarang masuk padang tetapi saya sudah beritahu dia mengenai latar belakang pemain dan cara latihan pasukan kita. Mungkin dia akan menambah sedikit sebanyak dan saya akan tetap membantu untuk beberapa ketika.

“Selepas ini dia akan mengendalikan semua latihan Kelantan. Jadi saya harap pihak media, para penyokong terutamanya memberi ruang dan masa secukupnya kepada dia untuk menyambung tugasan yang ditinggalkan oleh saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment