MOHD YAHYA JAMADA ALI
MACHANG – Pasukan bola sepak Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Machang muncul pasukan terakhir berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Presiden Kafa musim ini setelah mengetepikan saingan PBJ Gua Musang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A yang berlangsung di padang SMK Kubang Kerian Dua, baru-baru ini.
Walaupun sekadar mengikat keputusan seri 1-1, namun itu sudah cukup membolehkan PBJ Machang yang menduduki tangga kedua liga mengiringi PBJ Kota Bharu layak ke separuh akhir berdasarkan perbezaan mata.
Pengurus Pasukan, Mohd Yahya Jamada Ali berkata, kejayaan layak ke peringkat separuh akhir ini mengulangi sejarah yang pernah kita lakukan dua tahun lalu dan kita berharap impian kita untuk ke perlawanan akhir tercapai kali ini.
Pasukan PBJ Machang berazam menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila mahu mencatatkan kemenangan ke atas PBJ Bachok dalam perlawanan separuh akhir Piala Presiden Kafa
“Tidak ada ungkapan yang dapat digambarkan selain daripada perasaan gembira kerana pasukan bola sepak PBJ Machang dibawah kepimpinan Yang Dipertua, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Presiden Kafa musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Kejayaan layak ke separuh akhir ini cukup berbaloi kerana kita telah melakukan persiapan yang rapi sejak awal Oktober lalu dibawah kendalian Ketua Jurulatih Zamri Mohd Noor dan pembantunya Shamsuddin Deraman.
“Latihan dijalankan sebanyak lima kali seminggu bermula Isnin sehingga Jumaat. Para pemain telah memberi komitmen yang tinggi setiap kali menjalani latihan dan saya fikir mereka berhak menerima pujian kerana membawa pasukan ini mara ke separuh akhir,” katanya.
Menurut Mohd Yahya, pihak persatuan meletakkan harapan yang tinggi untuk mencatatkan kemenangan apabila bertemu dengan PBJ Bachok dalam perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung jam empat petang di Stadium Sultan Muhammed IV pada Rabu ini.
“Kekecewaan gagal melangkah ke perlawanan akhir dua tahun lalu setelah tewas kepada PBJ Tumpat masih segar dalam ingatan. Ini merupakan peluang terbaik kita menebus kekecewaan dan saya percaya para pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan kali ini.
Sementara itu, Kapten Pasukan, Muhd Nur Azam Mohd Nasir berkata, beliau berharap rakan sepasukannya menunjukkan persembahan terbaik pada perlawanan itu dan seterusnya menebus kekecewaan dua tahun lalu.
“Ini merupakan peluang terbaik kita setelah dikecewakan dua tahun lalu. Kemenangan ke atas PBJ Bachok ini mampu mengubati kekecewaan kita dan sepatutnya menjadi hadiah kepada seluruh penduduk Machang,” katanya.
No comments:
Post a Comment