Monday, November 1, 2010

HAIRUDDIN TUNAI JANJI

Hairuddin Omar (dua,kanan) bersama trofi Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan AKhir Piala Malaysia Edisi ke-84.

KUALA LUMPUR – “Kata dikota, janji terlaksana”. Skripnya seakan menyamai episod musim lalu, namun kali ini ianya berbeza dari segi suasana. Musim lalu dalam perlawanan akhir 2009, Hairuddin Omar, pemain yang dipinjam beraksi bersama Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan  cantik pada m-46 memerangkap penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi seterusnya membunuh semangat juang pemain Kelantan.

Kali ini, sama ada ianya secara kebetulan atau pun bersandarkan kepada nasib, Hairuddin Omar sekali lagi menanduk cantik gol penyamaan bagi Kelantan pada m-57 dan membangkitkan semangat juang pemain Kelantan sebelum mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan bagi menjulang Piala Malaysia buat pertama kali.

“Saya bersyukur kerana rakan-rakan sepasukan bangkit kembali menjaringkan gol walaupun pada satu ketika kita ketinggalan 1-0. Ternyata sikap tidak berputus asa dan memiliki motivasi yang tinggi untuk menang begitu tebal dalam setiap pemain Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya fikir gol penyamaan yang dijaringkan menerusi tandukan saya itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan aksi keseluruhan pemain Kelantan dan mengubah rentak perlawanan dengan beraksi lebih agresif sepanjang babak kedua.

“Kalau pada tahun lepas saya menjadi pemusnah kepada pasukan Kelantan, tetapi pada kali ini saya telah menunaikan janji saya menjadi pemusnah kepada lawan yang pernah mengecewakan Kelantan dalam pentas final musim lalu,” katanya.

Hairuddin berkata, kejayaan menjulang trofi piala berprestij itu ditujukan kepada semua rakyat Kelantan yang begitu dahagakan kejuaraan Piala Malaysia sejak sekian lama.

“Penyokong Kelantan dan rakyat Kelantan secara khususnya berhak menikmati kejayaan ini. Ini bukan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan tetapi kejayaan rakyat Kelantan sebenarnya. Peminat Kelantan menjadi tulang belakang kepada kekuatan pasukan ini sebenarnya. Saya fikir tanpa sokongan seperti ini, kita tidak mampu melangkah sejauh ini.

“Mereka sentiasa bersama kita walaupun kita bermain dimana-mana sekali pun. Mereka merupakan penyokong yang paling hebat dan fanatik dalam senario bola sepak negara ini. Saya berterima kepada semua penyokong Kelantan.

Ditanya mengenai perasaan beliau setelah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik pada perlawanan akhir itu, Hairuddin berkata, anugerah tersebut merupakan kesinambungan dan sokongan rakan-rakan sepasukan sepanjang perlawanan itu.

“Anugerah itu berhak saya kongsikan bersama rakan sepasukan. Mereka banyak membantu dan saya mengucapkan terima kasih kepada mereka,”katanya.

Kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia malam semalam merupakan satu kenangan manis buat kali ketiga bagi Hairuddin setelah pernah berbuat demikian bersama pasukan Terengganu (2001) dan Negeri Sembilan pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment