Sunday, October 10, 2010

TIADA LALUAN MUDAH BUAT KELANTAN

Husni Md Yusuf

KOTA BHARU – “Tiada laluan mudah untuk Kelantan”. Begitulah pesanan Pengurus Pasukan KL Plus FC, Husni Md Yusuf  kepada anak buah B Sathianathan dalam menghadapi perlawanan menentang pasukannya di Kelana Jaya malam ini.

“Kita tetap akan turun bermain seperti biasa. Tiada tekanan terhadap pasukan kami. Walaupun sudah tersingkir dalam saingan kempen TM Piala Malaysia musim ini tetapi itu tidak bermakna kami akan mudah menyerah kalah kepada Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walaupun perlawanan malam ini sekadar pelengkap jadual perlawanan bagi pasukan kami, tetapi Kelantan kena berusaha keras untuk memenangi perlawanan ini sekiranya mahu ke peringkat suku akhir.

“Sama ada Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor PKNS FC, semua pasukan tersebut tetap berpeluang ke suku akhir. Selangor PKNS FC sekiranya menang ke atas Negeri Sembilan, mereka turut berpeluang manakala Negeri Sembilan mungkin mengimpikan kemenangan untuk jadi juara kumpulan. Jadi Kelantan juga kena menang dalam perlawanan malam ini. 

Husni berkata, tidak ada rombakan dilakukan terhadap pasukannya dalam menghadapi kebangkitan lewat pasukan Kelantan pada perlawanan ini.

“Persiapan kita tetap berjalan seperti biasa. Walau pun kehilangan Azi Shahril (Azmi) yang menerima kad merah dan Es Lizuan (Zahid Amir) mengumpul tiga kad kuning namun itu tidak menjejaskan persiapan pasukan kami.

“Pengganti mereka mungkin mampu menggalaskan tugas tersebut. Memang saya akui ini perlawanan yang sukar bagi kita setiap kali bertemu Kelantan tetapi itu bukan alasan untuk kami tidak boleh memberi saingan.

“Walauapapun, saya serahkan sepenuh kepercayaan kepada jurulatih, Janos Krecska dalam menentukan kesebelasan utama pemain yang akan turun malam ini.

Pada saingan TM Piala Malaysia musim lalu, pasukan KL Plus FC mengukir kejayaan apabila melayakkan diri ke peringkat suku akhir namun ditunjukkan jalan keluar oleh Kelantan dengan kekalahan agregat 4-1. 

Musim ini, KL Plus FC seakan tidak bermaya mengharungi cabaran dalam kempen TM Piala Malaysia setelah mengutip dua mata daripada lima perlawanan yang dihadapinya setakat ini.

No comments:

Post a Comment