Pemain Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan Muhd Badhri Radzi meraikan kejayaan menjaringkan gol dihadapan peminat setia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya sewaktu pertemuan dengan KL Plus FC malam semalam.
Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan ternyata menjadi individu paling gembira biarpun pasukan bimbingannya menunjukkan kebangkitan lewat dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.
“Kita telah menunjukkan aksi yang terbaik dalam dua perlawanan terakhir. Pemain yang meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan terdahulu dengan meratah pasukan KL Plus FC,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Saya berharap dan para peminat juga berharap aksi sedemikian dapat diteruskan dalam pertemuan akan datang menentang Selangor pada Selasa ini (malam esok).
“Pertemuan menentang Selangor merupakan perlawanan yang cukup getir bagi kedua-dua pasukan. Dalam mengharungi peringkat kalah mati ini, kedua-dua pasukan jelas tidak mahu berputih mata,” katanya.
Menurut Sathianathan, beliau berpuas hati dengan persembahan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang disifatkan memuncak tepat pada masanya.
“Saya memang berpuas hati dengan Norshahrul (Idlan Talaha). Walau beliau tidak menjaringkan gol sekali pun saya tetap berpuas hati. Dia banyak membantu rakan sepasukan menjaringkan gol.
“Tetapi apabila beliau menjaringkan gol, bermakna itu menambahkan lagi keyakinan terhadap diri beliau sendiri. Setelah lama tidak menjaringkan gol, akhirnya dia telah temui sentuhan jaringannya.
Sathianathan turut memuji kombinasi pertahanan Kelantan yang menunjukkan satu persembahan yang cukup mantap walaupun tanpa kelibat Mohd Daudsu Jamaludin.
“Mohd Farisham Ismail bermain dengan baik. Itu sebab saya mengekalkan beliau dalam perlawanan malam semalam.
“Anda kena ingat, itu yang membezakan diantara kekuatan pasukan Kelantan musim ini dengan musim lepas. Dalam erti kata lain, kita mempunyai ‘reserve strength’ yang cukup baik. Apabila seseorang pemain cedera atau mengalami kemerosotan permainan, pemain lain mampu menggalas tugas itu,” katanya.
Skuad kelantan memilih untuk tidak pulang ke Kota Bharu selepas perlawanan menentang Kl Plus FC malam semalam, sebaliknya terus berada di Shah Alam bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor di Shah Alam malam esok.
No comments:
Post a Comment